Uncategorized

Influencer Li Ziqi kembali menghidupkan media sosial dengan keindahan desa

PEMPEGARUH media sosial terkenal dari China, Li Ziqi yang mempunyai pengikut global yang besar, akhirnya kembali ke media sosial selepas berehat selama tiga tahun.

Li, seorang wanita berusia 34 tahun ini, terkenal dengan video kehidupannya bersama neneknya di sebuah kampung di Sichuan, yang menampilkan suasana kampung yang damai, masakan tradisional, dan kraf tangan.

Baru-baru ini dia kembali dengan memuat naik tiga video yang masing-masing mendapat jutaan tontonan dengan video berdurasi 14 minit yang dimuat naik di semua platform media sosialnya.

Video itu memaparkan Li membuat almari untuk neneknya menggunakan teknik lakis tradisional, yang telah ditonton lebih 10 juta kali di YouTube dan lebih tiga juta kali di TikTok.

Populariti Li bermula pada 2016, apabila rakyat China yang semakin aktif di media sosial tertarik dengan video perlahan yang memaparkan gaya hidup kampung.

Kembalinya kali ini mendapat sambutan hangat dari peminat seluruh dunia, walaupun berlaku tindakan tegas kerajaan terhadap influencer yang dianggap “tidak sesuai.”

Li berhenti memuat naik video pada 2021 selepas perselisihan dengan agensi pengurusannya, tetapi kini dia kembali setelah mereka mencapai penyelesaian pada 2022.

Sejak kebelakangan ini, ramai influencer lain di China menghilang apabila kerajaan mula menumpukan usaha membetulkan “budaya dalam talian”, termasuk menyasarkan mereka yang didakwa mengelak cukai atau menyebarkan maklumat palsu.

Namun, Li berjaya mengatasi segala halangan dan masih mendapat sokongan ramai. Popularitinya di platform YouTube dan TikTok, yang sebenarnya dilarang di China, menimbulkan spekulasi sama ada videonya dianggap sebagai promosi untuk China.

Kepulangannya juga disambut media negara. Agensi berita Xinhua menyiarkan temu ramah eksklusif dengan Li sehari selepas dia kembali. Dalam temu ramah itu, Li menceritakan yang dia menggunakan masa tiga tahun lalu untuk berehat dan membawa neneknya menjelajah dunia. Kini, katanya, dia punya “matlamat yang lebih besar” dan akan “berusaha sebaik mungkin.”

Li bukan sahaja diterima baik oleh peminat, tetapi juga oleh media negara China. Xinhua pernah menggelarnya sebagai “vlogger yang mempesona dunia dengan kehidupan desa China,” manakala China Daily memujinya kerana “menyebarkan budaya China ke seluruh dunia.”

Bagi Beijing, video-video Li membawa imej yang menarik untuk pelancongan dan menyokong seruan untuk kebangkitan budaya China. Malah, hidangan mi tradisional yang unik menjadi popular selepas ditampilkan dalam salah satu videonya.

Semasa pandemik, populariti Li di luar negara melonjak apabila ramai yang terpesona dengan gaya hidup desa yang ditonjolkan dalam videonya. Pada masa yang sama, jenamanya berkembang apabila dia mula menjual makanan dan sos di platform e-dagang Taobao, dengan jualan mencecah 1.6 bilion yuan pada 2020.

Kini, Li adalah vlogger berbahasa Cina paling popular di YouTube dengan lebih 20 juta pengikut, dan tiga juta lagi di TikTok.

Melihat di ruangan komen warganet mula membajiri komen dengan menyokong gadis itu membuat kemunculan semula di media sosial.

“Saya sangat merindui anda,” katanya kepada peminat dalam satu hantaran. Mereka pun merasakannya: “Apabila dunia sangat memerlukan dia, dia kembali. Selamat kembali,” tulis salah seorang peminat.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button