Nasional

Individu tidak patuh SOP diibaratkan bahan api

KETUA Pengarah Kesihatan Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah mengibaratkan individu yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (sop) bagaikan bahan api.

Sementara kluster-kluaster baharu Covid-19 yang semakin banyak dikesan pula diibaratkan sebagai bara api.

Menurut Dr. Noor Hisham, kluster baru dan individu yang tidak mematuhi SOP boleh menyebabkan bencana besar kepada negara dan boleh mengakibatkan gelombang ketiga Covid-19.

“Kluster baru dikesan diibaratkan sebagai bara api, kita pula kalau tak patuh SOP adalah bagaikan bahan api, bila bara bertemu bahan api ia akan menyebabkan kebakaran besar.

“Kita tidak tolak kemungkinan Negara hadapi gelombang ketiga Covid-19 sekiranya rakyat masih tidak patuh SOP,” amaran Dr. Noor Hisham.

Sejak beberapa hari lalu Kementerian Kesihatan Malaysia melaporkan mengesan beberapa kluster baharu Covid-19.

Antaranya yang melibatkan sebuah pusat keagamaan telah dikesan pada 25 Julai 2020 iaitu Kluster Bukit Tiram Kluster tersebut melibatkan sebuah Gereja Roman Katolik dan aktiviti keagamaan di beberapa negeri lain.

Kluster itu didapati turut melibatkan kes import dari negara Filipina namun siasatan masih dijalankan bagi mengenalpasti kes indeks dan juga punca jangkitan COVID-19 bagi kluster tersebut.

NASIHAT KESIHATAN BERKAITAN COVID-19

KKM menasihati orang ramai agar waspada dan terus amalkan nasihat-nasihat ini sebagai satu kebiasaan baharu dalam kehidupan harian, misalnya:

  • Elakkan 3S / 3C: iaitu elakkan kawasan yang sesak (Crowded place), elakkan kawasan yang sempit (Confined space) dan elak sembang atau bertutur dengan jarak yang dekat (Close conversation).
  • Amalkan 3W: iaitu kerap mencuci tangan dengan air dan sabun (Wash), sangat digalakkan memakai alat pelitup separuh muka (penutup hidung dan mulut – facemask) di tempat awam atau jika bergejala (Wear), dan (Warn) iaitu amaran dari KKM yang lebih berkonsep peringatan seperti:
    • Elakkan bersalaman / bersentuhan;
    • Amalkan etika batuk dan bersin;
    • Dapatkan rawatan segera jika bergejala;
    • Duduk di rumah dan elakkan kunjung-mengunjung;
    • Lakukan aktiviti disinfeksi dan pembersihan di kawasan yang kerap disentuh.

Patuhlah kepada S.O.P sebagai norma baharu iaitu:

  • S: Syarat-syarat seperti yang ditetapkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP);
  • O: Orang yang berisiko tinggi seperti kanak-kanak, bayi, warga emas dan orang kurang upaya (OKU) perlu dilindungi, individu tidak sihat dan bergejala dikehendaki segera menjalani pemeriksaan kesihatan;
  • P: Penjarakan sosial (social distancing) diamalkan pada setiap masa iaitu sekurang-kurangnya 1 meter.

-SM

(Visited 62 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button