Politik

Impak besar Mas Ermieyati buat kejutan di Tanjung Bidara

MELAKA – Pengumuman Datuk Mas Ermieyati Samsudin sebagai calon Ketua Menteri jika Perikatan Nasional (PN) memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bakal memberi impak besar buat calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara bakal membuat kejutan besar, esok.

Tinggal beberapa jam sahaja sebelum 482,549 pengundi di negeri ini akan menunaikan tanggungjawab esok, sembang-sembang di kedai kopi sudah kedengaran ramai teruja apabila semalam Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Ahli Parlimen Masjid Tanah itu sebagai calon Ketua Menteri untuk PN.

Berbanding lawan Mas Ermieyati di Tanjung Bidara iaitu Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh, nampak sokongan lebih ke arah calon PN itu.

Impak nama Mas Ermieyati sebagai calon wanita pertama bakal bergelar Ketua Menteri nyata mendapat sokongan ramai pihak tidak terkecuali penyokong tegar Barisan Nasional (BN) khususnya di Tanjung Bidara.

Antara Ahli Parlimen Masjid Tanah dan Ketua UMNO Bahagian Masjid Tanah itu, nama Mas Ermieyati jauh lebih menonjol kerana sering turun padang membantu penduduk dan peniaga kecil di kebanyakkan kawasan di daerah itu.

Agak mengejutkan ada yang mahu melihat Ab. Rauf tumbang dalam PRN ini. Itu antara suara-suara nakal terdengar dalam kalangan ahli UMNO di situ begitu juga penduduk yang hangat memperkatakan pertembungan sengit antara kedua-dua tokoh itu.

Antara sebab mereka mahu melihat Ab. Rauf tumbang ialah bagi memberi ruang kepada calon Ketua Menteri daripada BN yang juga calon DUN Lendu, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali untuk memegang jawatan Ketua UMNO Bahagian Masjid Tanah.

Mereka berpendapat tidak ada gunanya Sulaiman menjadi Ketua Menteri kerana kuasa politik tidak ada padanya. Beliau bukan Ketua Bahagian dan mana mungkin dilantik selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri.

Menjadi Ketua Menteri tetapi bukan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri bermakna beliau tidak mempunyai kuasa dalam menentukan calon-calon dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dan juga membuat keputusan parti di negeri ini.

Mungkin ada logiknya mengapa ramai mahu melihat Ab. Rauf tumbang dan jangan terkejut mungkin ada dalam kalangan ahli tegar UMNO akan memberi undi kepada Mas Ermieyati.

Apa pun hanya esok bakal diketahui sama ada Mas Ermieyati atau Ab. Rauf bakal memenangi DUN Tanjung Bidara apabila seramai 10,133 pengundi akan keluar mengundi.

(Visited 195 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button