Nasional

Lelaki serang wanita dalam lif seorang detektif polis

LELAKI yang didakwa menyerang seorang wanita kerana tidak berpuas hati dengan perkhidmatan yang ditawarkan oleh agensi cari jodoh merupakan seorang detektif polis.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata koperal polis itu merupakan seorang detektif di Selangor kini diletakkan dalam tugas pentadbiran sementara kes itu disiasat.

“Sementara siasatan kes itu sedang dijalankan, kami juga akan menjalankan siasatan tatatertib dalaman,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Sepang hari ini.

Kejadian itu dikatakan berlaku kira-kira jam 10.30 pagi Selasa, 16 November lalu.

Mangsa merupakan seorang pegawai perkhidmatan pelanggan berusia 34 tahun yang dibayar oleh suspek untuk membantunya mencari jodoh.


Siasatan awal menunjukkan suspek berusia 35 tahun pergi ke pejabat mangsa di Jalan 2 Chan Sow Lin untuk menemuinya.

Ketika mereka berada di dalam lif menuju ke bawah, suspek didakwa memukul kepala wanita itu beberapa kali. Video tersebut telah tular di media sosial.

Mangsa mengalami pendarahan di kepala dan menerima rawatan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Sebelum ini, suspek dikatakan telah membayar mangsa sebanyak RM2,500 untuk membantunya mencari jodoh di agensi cari jodoh tersebut.

Bagaimanapun selepas enam bulan wanita itu masih gagal untuk mencarikan pasangan buat lelaki tersebut sehingga menimbulkan kemarahannya. -SM

(Visited 83 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button