Gajet

iMac M1, spesifikasi, rupa berbaloi

APPLE terus mengorak langkah dengan pengeluaran produk komputernya yang lebih ringan, nipis tetapi punyai spesifikasi keupayaannya tinggi.

Siap sangka dengan keluasan skrin 24 inci, nipis (11.5mm) dan berat keseluruhannya cuma sekitar 4.5kg, komputer iMac M1 ini miliki pelbagai ciri tertentu termasuklah paparan 4.5K retina display.

Asasnya, iMac M1 dilengkapi dengan ciri seperti unit pemprosesan Apple M1 Chip dengan keupayaan sehingga 8-core CPU, 16GB memori dan ruang penyimpanan sehingga 2TB.

Walaupun 2TB, tetapi pemasangan asal pada produk dari kedai adalah sekitar 256GB hingga 512GB dan 8GB memori, itupun sudah memadai kerana iMac M1 menggunakan penyimpanan jenis SSD.

Namun, istimewanya produk terbaharu Apple yang baharu dipasarkan pada 21 Mei lalu, ciri pemprosesan grafiknya (GPU) dikuatkan dengan keupayaan sehingga 8-core GPU.

Selain itu, jika anda seorang yang sensitif dengan warna dan ingin mengalami keasyikan ketika melihat gambar atau menonton filem seperti Netflix, HBO Max atau platform lain, 4.5K retina display iMac M1 mampu paparkan resolusi 1bilion warna.

Paparan itu boleh ditonton menerusi resolusi HD 4K 218 pixel bagi setiap inci pada kejelasan gambar 4480×2520 yang dikuasakan dengan ciri kecerahan 500 nits dan teknologi True Tone.

Malah, membuat panggilan video menggunakan iMac M1 juga bakal memberi pengalaman baharu kerana webcam yang terbina berdefinisi 1080 FaceTime HD dan turut disertakan dengan pemprosesan isyarat imej M1.

Senang cakap, kalau buat panggilan video, sila mandi, sikat rambut dan pakai bedak dahulu sebelum memulakan persidangan atau mesyuarat dalam talian.

Jika anda masih tidak tertarik dengan ciri di atas, ingatlah keunikan iMac M1 ini bukanlah produk rigid seperti komputer atau laptop Apple sebelum ini.

Ia bukan sahaja ringan, nipis dan besar, tetapi turut didatangkan dengan warna berbeza seperti biru, hijau, merah jambu, perak, kuning, jingga dan ungu. Jadi mana satu warna kegemaran anda?

Jadi, bolehlah gunakan bajet yang sudahpun disediakan untuk beli iMac ditawarkan pada harga bermula pada RM5,599.

Dengan harga itu, anda boleh miliki iMac 8-core CPU dan 7-core GPU berserta cakera penyimpanan 256GB SSD yang ditawarkan pada warna biru, hijau, merah jambu dan perak.

Jika ada bajet lebih, boleh ambil model berharga RM6,499 yang dilengkapi ciri 8-core CPU dan 8-core GPU.

Cuma bezanya berbanding model berharga RM5,599 adalah, ia dilengkapi ciri tiga port USB, Gigabit Ethernet dan disertakan dengan Magic Keyboard dengan Touch ID.

Model harga itu ditawarkan dalam warna biru, hijau, merah jambu, perak, kuning, jingga dan ungu.

Kalau anda memang ada bajet lebih, boleh dapatkan modeli iMac M1 yang paling mahal harganya, RM7,249, selain ditawarkan dalam semua warna, model ini dilengkapi dengan cakera simpanan 512GB SSD.

Anda tahu boleh beli dekat mana kan?– SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More
Back to top button