Nasional

Jaga kesihatan mental tempoh pandemik – Raja Muda Perlis

Pandemik Covid-19 secara umumnya memberi kesan terhadap kesihatan mental masyarakat di seluruh dunia amnya dan di Malaysia secara khususnya. Negeri Perlis juga tidak ketinggalan.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Menurut baginda, ‘Bagi membendung masalah pandemik Covid-19 ini, Kerajaan sangat komited dengan pelbagai langkah kawalan yang dijalankan. Bermula daripada amalan norma baharu, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan dan sehinggalah yang terbaharu melancarkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan secara percuma kepada masyarakat’.

‘Apabila berlakunya sesuatu krisis, bencana atau sesuatu perubahan daripada keadaan rutin biasa, adalah normal bagi seseorang itu untuk berasa takut, marah, keliru, rimas, tertekan atau stres. Namun, apa yang lebih penting adalah bagaimana cara untuk menguruskan kesihatan mental dengan baik’.

Dalam pada itu Pengarah Kesihatan Negeri Dr Sirajuddin Hashim memaklumkan bahawa, ‘Semenjak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan diperkenalkan, terdapat pelbagai reaksi yang telah diberikan oleh masyarakat di mana sesetengah memberikan reaksi yang positif dan ada juga yang memberikan reaksi negatif. Daripada sudut psikologi, imunisasi dengan vaksin yang baharu turut dilihat sebagai satu “perjudian” di mana masyarakat perlu mempertimbangkan di antara manfaat mencegah daripada mendapat jangkitan Covid-19 yang boleh membawa maut serta kesan sampingan vaksin. Antara cabaran lain adalah ekoran daripada penularan berita palsu dan mitos atau maklumat yang tidak tepat yang membawa kepada salah faham kepada masyarakat. Namun, kebanyakan berpendapat bahawa imunisasi ini amat penting terutamanya bagi melindungi golongan yang berisiko daripada dijangkiti Covid-19.

Oleh itu, Tuanku Syed Faizuddin Putra menitah nasihatkan semua rakyat di negeri ini serta kepada anak-anak untuk membantu mendaftarkan ibu bapa mereka tersayang terutamanya yang berumur lebih 60 tahun dan yang mempunyai penyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi, jantung dan sebagainya yang mungkin tiada kemudahan pendaftaran atau tidak pandai untuk menggunakan sistem tersedia agar mereka tidak tertinggal dalam program ini.

‘Mudah-mudahan Negeri Perlis akan berjaya menjadi negeri yang pertama di Malaysia yang mencapai imuniti kelompok, di mana lebih 70% daripada penduduknya telah lengkap suntikan vaksin mereka’ harapan besar Tuanku Syed Faizuddin Putra.

(Visited 281 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button