Ikrar Lim Ban Hong selesai masalah penduduk di Parlimen Tangga Batu
Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Tangga Batu, Datuk Lim Ban Hong berikrar akan menyelesaikan beberapa isu membabitkan nelayan dan petani jika pengundi memberi kepercayaan dan mandat semula kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini.
Menurut Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klebang, dua perkara tersebut adalah sebahagian daripada isi kandungan janji manifesto yang akan diperincikan serta diumumkannya kepada seluruh rakyat di kawasan tersebut selepas penamaan calon esok.
Beliau yang juga Naib Presiden MCA menegaskan, selain itu soal penyuraian traik, pembangunan sektor pelancongan dan pembangunan ekonomi setempat khususnya dalam sektor perusahaan mikro kecil dan sederhana (PKMS) menjadi tumpuannya.
Ban Hong turut memberi jaminan dalam pelan pembangunan yang dirancang di Parlimen Tangga Batu beliau akan merangkumi semua kaum tanpa mengetepikan mana-mana pihak.
“Saya akan melaksanakan semua ini jika diberi kepercayaan dan mandat oleh seluruh pengundi di Tangga Batu kerana visi, misi dan hala tuju adalah sejajar dengan polisi kerajaan negeri yang diterajui oleh BN.
“Pelan pembangunan yang dirancang adalah untuk semua pihak tanpa mengira kaum kerana ini adalah janji manifesto yang akan saya umumkan sedikit masa lagi.
“Tangga batu adalah kampung halaman saya kerana dilahirkan di Kampung Cheng selain mendapat awal di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) Cheng dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun haji Abdul Malek Cheng dan mengapa tidak saya diberi peluang berkhidmat di sini,” ujarnya kepada pemberita di sini hari ini.
Hadir sama ADUN Pantai Kundor, Tuminah Kadi dan Naib Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, Datul Sazali Muhd. Din.
Ban Hong berkata, rakyat perlu memilih BN kerana parti itu dapat memberikan perkhidmatan yang baik mencakupi seluruh lapisan masyarakat tanpa mengira kaum.
Katanya, berdasarkan sokongan positif daripada penduduk di empat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang, Klebang, Pantai Kundor dan Paya Rumput, beliau tidak menolak BN mampu merampas kembali kerusi itu yang terlepas dari gengaman pada PRU14 yang lalu.
“Semalam saya berjalan di Pantai Kundor, Tanjung Minyak dan pagi ini di Sungai Udang serta Paya Rumput nampaknya pengundi memberi sokongan atas pemilihan saya bertanding di sini. Ini petanda positif bagi saya dan BN,” ujarnya.
Justeru beliau merayu pengundi untuk membuat pilihan yang tepat kerana BN adalah parti yang harus diberikan kepercayaan bagi membawa pembangunan kepada penduduk setempat. – SM