NegeriRencah Hidup

Hujan berterusan kerja balut harummanis tergendala

HUJAN berterusan sejak dua hari lalu, sedikit sebanyak “mencemaskan” hati para penanam mangga harumanis, buah ikon Perlis. Paling ketara, kerja-kerja membalut harumanis yang rancak dilakukan sejak awal bulan ini tiba-tiba tergendala disebabkan hujan.

SUARA MERDEKA difahamkan penanam harumanis kini sedang mencuba sedaya upaya melakukan kerja membalut buah dengan lebih pantas tanpa mengira masa asalkan ketika itu hujan reda.

Kalau tidak sebelum ini kerja membalut buah hanya dilakukan  waktu pagi dan selepas Asar kerana keadaan yang agak redup.

ABDUL HANAN SAAD

Abdul Hanan Saad, 38, dari Oran, Mata Ayer berkata, dia juga telah terlewat empat hari dari yang dijadualkan bagi pusingan membalut buah harumanis yang ditanamnya.

“Saya terpaksa hentikan dahulu perniagaan yang dijalankan supaya dapat menumpukan masa untuk membalut buah sekalipun dalam keadaan hujan renyai-renyai,” katanya.

Beliau berkata, jika buah tidak dibalut pada saiz ukur lilit ditetapkan iaitu 16 hingga 19 sentimeter akan mula diserang serangga.

Selain itu katanya, beliau juga ada menerima rungutan penanam yang hampa kerana bunga yang keluar pada kali kedua kali ini menjadi hitam kerana hujan.

“Mereka ini mengharapkan bunga yang keluar kali kedua ini dapat berbuah lebih banyak tetapi sayangnya sangkaan meleset kerana faktor cuaca,” katanya.

ZAINOL AHMAD

Sementara itu, Zainol Ahmad, 67, dari Kampung Simpang Geti, Mata Ayer berkata, dia sendiri juga sudah tertangguh selama dua hari dari jadual pembalutan disebabkan hujan.

“Tambahan pula hujan ini akan membuatkan buah membesar dengan cepat,” katanya.

Katanya lagi, kerja-kerja membalut buah mungkin nampak mudah tetapi ia tidak boleh dilakukan dengan sesuka hati.

“Jika buah dibalut kurang dari  saiz 19 sentimeter dan dipetik tidak sampai 56 hari, kualiti buah terjejas,” ujarnya.

Zainol berkata, sebab itu sesiapa sahaja yang menanam harumanis secara komersial perlu menjalani kursus anjuran Jabatan Pertanian supaya dapat menghasilkan buah yang berkualiti. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button