Ekonomi

HKTDC bawa pelabur Hong Kong, teroka kerjasama dengan Malaysia

DELEGASI yang dipimpin oleh Ketua Eksekutif Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong (HKSAR),John Lee akan berada di Kuala Lumpur dari 27 sehingga 29 Julai ini. Kunjungan delegasi anjuran Majlis Pembangunan Perdagangan Hong Kong (HKTDC) akan melibatkan pegawai-pegawai utama Kerajaan HKSAR.

Turut serta lebih daripada 30 pemimpin perniagaan yang mewakili pembangunan ekonomi, perkhidmatan kewangan, inovasi, logistik, pengangkutan dan banyak lagi.

Pengerusi HKTDC, Dr Peter K N Lam dalam kenyataannya juga memaklumkan, misi ini bertujuan untuk meneroka kerjasama dan perkongsian antara Hong Kong dan Malaysia dalam pelbagai sektor.

“Satu jamuan makan tengah hari bersama para pemimpin perniagaan Malaysia akan diadakan pada 28 Julai dan ini merupakan acara kemuncak lawatan delegasi tersebut dalam mempromosikan hubungan ekonomi dua hala dan pertukaran budaya antara Hong Kong dan Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, HKTDC telah memudahcara peluang perniagaan antara Hong Kong dan dunia setelah selama hampir enam dekad.

“Sempena kunjungan delegasi ini ke Malaysia, kami berhasrat untuk memperkukuhkan ikatan erat di antara kedua-dua wilayah dan sekali gus mengukuhkan hubungan ekonomi antara Hong Kong dan negara-negara ASEAN,” ujarnya.

Tambah beliau, lawatan tersebut juga akan menjadi platform pertukaran idea, meneroka peluang-peluang baharu dan memupuk kerjasama yang lebih erat antara perniagaan dan kerajaan.

“Kami percaya dengan bekerjasama, kita dapat mencapai kejayaan dan kemakmuran bagi Hong Kong dan Malaysia serta rantau ini,” katanya.

Sebagai Wilayah Pentadbiran Khas (SAR) China, Hong Kong kata Dr. Peter, memainkan peranan penting sebagai hab antarabangsa perdagangan kewangan, pelaburan dan pertukaran budaya.

Dalam ASEAN, Hong Kong adalah rakan perdagangan dan pasaran eksport-import kedua terbesar, katanya.

Tambah beliau, Malaysia dengan menduduki tempat kedua sebagai pasaran import terbesar Hong Kong di rantau ini, menegaskan peranan pentingnya terhadap ekonomi tempatan.

“Memanfaatkan lokasi strategik, perkhidmatan kewangan bertaraf dunia, rangkaian meluas serta platform berbeza untuk memudahkan peluang di bawah Inisiatif Jalur dan Laluan atau Laluan Sutera Baru (BRI), Hong Kong boleh membina kekuatan kerjasama yang tidak terhad dalam perniagaan serta dapat memberikan manfaat yang besar kepada perniagaan, pelabur dan rakyat di seluruh rantau ini,” katanya.

Katanya lagi, lawatan delegasi Hong Kong ke Kuala Lumpur menandakan kepentingan untuk mengukuhkan lagi ikatan ekonomi yang telah dibina antara Hong Kong dan Malaysia selama bertahun lamanya bagi memupuk kerjasama yang lebih baik, memacu pertumbuhan yang lebih pesat, dan membuka peluang-peluang baru.  – SM

BACA WTCKL meterai MoU dengan WTC Xiamen

BACA Top Gloves tangguh penyenaraian di bursa saham Hong Kong

(Visited 108 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button