Nasional

Harumanis Perlis tiada tandingan – Raja Muda

DUBAI (Emiriah Arab Bersatu) – Mangga Harumanis sinonim dengan negeri Perlis dan tiada tandingannya walaupun ia kini turut mula ditanam di tempat-tempat lain.

Tambahan pula Harumanis Perlis telah didaftarkan di bawah Petunjuk Geografi semenjak tahun 2011 lagi.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat melancarkan kempen ‘Promosi Masakan Perlis’ yang diadakan di Restoran Nur Malaysia yang terletak di No. 99, Umm Hurair Rd, Oud Metha, Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) (Bersebelahan Pusat Dagangan Malaysia di Dubai) pada petang kelmarin.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Penyelia restoran, Mohd Arif Salim.

Berangkat sama ialah anakanda-anakanda baginda Puteri Sharifah Farah Adriana Jamalullail dan Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.

Turut hadir ialah Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Prof. Ir. Ts. Dr. R. Badlishah Ahmad dan Pengurus Besar BMC Travel Sdn Bhd, Philip Fang.

Program promosi masakan tradisional beresepikan berasal dari negeri Perlis yang berlangsung selama dua minggu ini adalah anjuran UniMAP bersama restoran berkenaan dengan kerjasama Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dan BMC Travel Sdn Bhd.

Baginda yang juga merangkap Tuanku Canselor UniMAP dan Pengerusi YTSP Perlis turut menambah bahawa negeri Perlis sesungguhnya adalah pengeluar mangga Harumanis Premium, di mana identiti dan keasliannya perlu dikekalkan. Kualiti Premium Mangga Harumanis Perlis berdasarkan faktor seperti:

1) Hasil pengeluaran semusim sahaja sepanjang tahun kerana faktor cuaca, iklim dan perbezaan suhu siang dan malam negeri ini yang menghasilkan buah Harumanis beraroma harum dan rasa yang sangat manis.

2) Pengurusan tanaman sepanjang tahun mengikut Kalendar tanaman dan dipantau oleh Jabatan Pertanian Negeri, menjadikan kos pengurusan Harumanis lebih tinggi berbanding mangga lain.

3) Pengurusan ladang mengikut ‘Amalan Pertanian Baik’ dan Persijilan MyGAP oleh Jabatan Pertanian.

4) Buah yang dituai adalah mengikut tahap kematangan yang ditetapkan berdasarkan bacaan brix kemanisan dengan berat sebiji buah antara 450 hingga 650 gram, serta

5) Tanaman Harumanis di Perlis telah melebihi 35 tahun.

Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berharap semua pihak akan terus berganding bahu menjayakan industri pertanian negeri tersebut khususnya dalam industri mempelam Harumanis ke arah kelestarian dan sekaligus mengharumkan nama Perlis ke persada yang paling tinggi, InsyaAllah.

Naib Canselor pula menambah bahawa UniMAP telah mengetengahkan gabungan teknologi rumah hijau untuk merangsang proses pertumbuhan mangga Harumanis itu dapat berlaku secara tidak bermusim.

Tuanku Raja Muda berada di UAE bagi mengetuai delegasi lawatan ‘Jelajah Ilmu Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UniMAP Sesi 2018/9’ selama empat hari berakhir semalam.

(Visited 54 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.
Back to top button