Nasional

Harumanis hadiah istimewa hargai barisan hadapan COVID-19

 

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail memuji inisiatif Jabatan Pertanian Negeri Perlis serta semua pihak yang bersamanya dalam menguar-uarkan kepada syarikat-syarikat korporat dan juga individu yang berhasrat menjadikan mangga Harumanis Perlis sebagai ‘buah tangan’, simbolik kepada tanda penghargaan kepada para petugas barisan hadapan negara yang terlibat dalam menangani pandemik Covid-19 ketika ini.

Menurut Jabatan Pertanian Negeri, mereka yang berminat dan ingin melahirkan hasrat sedemikian boleh membuat pembelian buah premium yang menjadi ikon negeri Perlis ini secara atas talian dan akan dihantar secara terus oleh para pembekal melalui perkhidmatan pos atau kurier ke mana-mana lokasi di Semenanjung tanahair sempena musim Harumanis Perlis yang baru sahaja bermula dan dijangkakan berakhir pada Jun 2020 ini.

Menurut baginda, selain pembelian buah sedia dimakan, hamper korporat Harumanis Perlis bersempena sambutan Hari Raya Aidilfitri juga mendapat sambutan yang sungguh menggalakkan sejak beberapa tahun yang lalu walaupun harga bagi Harumanis Perlis ini diketahui umum adalah premium disebabkan beberapa faktor yang tidak dapat dielakkan termasuklah penjagaannya yang begitu rumit, kos penyelengaraan yang tinggi, kos penghantaran, risiko kelewatan tiba, kerosakan, kecurian di kebun yang kian meningkat, serangan penyakit, serangga, kulat, cuaca yang tidak menentu dan sebagainya.

Pada kesempatan itu, Tuanku Raja Muda turut berharap agar lebih banyak produk hiliran daripada pokok mangga Harumanis Perlis ini dapat dihasilkan dan ditingkatkan lagi melalui kerjasama Institusi-Institusi Pengajian Tinggi tempatan selain produk sedia ada seperti teh uncang, teh kiub, jus botanikal, bam serta pelbagai produk sedia dimakan seperti pulut mangga, ais krim, dadih, kuih seri muka dan sebagainya.

Selain itu, kerjasama berterusan di antara Jabatan dan Agensi Kerajaan serta badan-badan swasta dalam menjadikan Harumanis Perlis ini sebagai menu sampingan semasa tiba musimnya sama ada bagi aktiviti mesyuarat, majlis atau program-program yang dianjurkan, begitu juga menjadikan Harumanis Perlis sebagai cenderahati istimewa kepada orang tersayang amatlah dialukan, ujar Baginda.

Tambah Tuanku Syed Faizuddin Putra lagi, promosi pemasaran mangga Harumanis Perlis juga perlu digiatkan lagi dengan mewujudkan jalinan promosi berkesan termasuklah jualan di luar negeri melalui kerjasama dengan pemasar tempatan dan luar negara, program penemusuaian pengusaha dengan para pemain industri serta karnival dan festival Harumanis Perlis secara terancang.

Baginda turut mendoakan agar wabak Covid-19 ini akan segera diatasi dan kita akan lebih fokus kepada peningkatan dan pemasaran buah istimewa Perlis itu yang menjadi ikon utama negeri ini.

Untuk rekod, secara lazimnya karnival Harumanis Perlis akan dilancarkan oleh baginda dan juga Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil di Kuala Lumpur manakala ‘Festival Harumanis’ di Perlis pula diadakan di Pusat Pertanian Bukit Bintang 1, Sungai Batu Pahat. Namun, berikutan daripada penularan wabak Covid-19 ini, kedua-dua aktiviti tersebut tidak dapat dilaksanakan dan bakal digantikan dengan pelancaran kempen jualan atas talian yang akan disempurnakan oleh baginda pada kemuncak musim Harumanis iaitu pada minggu terakhir bulan April ini, jelas baginda.

(Visited 328 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button