Ekonomi

Raja Muda Perlis pandang serius penjualan harumanis tipu

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Yang DiPertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) menitahkan bahawa MAIPs memandang serius aktiviti penjualan ‘Harumanis Tipu’ yang akan menjejaskan pendapatan dan hasil para pengusaha ‘Harumanis Perlis’.

Kesannya juga akan mengakibatkan penurunan kutipan zakat tanaman yang telah difatwakan wajib terhadap hasil biji-bijian dan buah-buah hasilan pertanian.

Oleh itu, baginda berharap tiada lagi penggemar mangga Harumanis ‘tersalah membeli’ atau ‘tertipu’ semasa membeli buah yang menjadi ikon negeri Perlis itu.

Beza Mangga Harumanis Perlis daripada ‘buah tiruan’ atau ‘buah import’ misalnya ialah mangga Harumanis Perlis mempunyai lekuk pada tangkainya berbeza dengan buah mangga lain yang tidak mempunyai lekuk pada pangkal tangkai dan di bahagian luar tangkai.

Baginda bertitah ‘Harumanis Thai’, ‘Harumanis Kemboja’ dan ‘Harumanis Burma’ merupakan antara nama yang sering digunakan bagi melariskan jualan mempelam.

“Difahamkan penggunaan ‘Harumanis’ pada mangga lain merupakan taktik peniaga untuk menarik pembeli di mana akan menyangka ia adalah Harumanis dari Perlis,” titah baginda.

Situasi ini perlu diberikan perhatian sewajarnya oleh semua pihak khususnya apabila musimnya dijangka bermula dari bulan April hingga Jun pada tahun ini dengan kemuncaknya pada bulan Mei kerana mangga Harumanis membawa imej negeri Perlis.

Demikian titah baginda selepas berkenan berangkat menghadiri ‘Program Hijrah Minda MAIPs Bilangan ke 10 bagi tahun 2021’ yang diadakan di Masjid Terapung Al-Hussain Kuala Perlis petang tadi bagi menyampaikan sumbangan agihan zakat kepada 25 orang asnaf terpilih dalam kalangan anak kariah masjid berkenaan melalui amilnya.

Keberangkatan tiba baginda diiringi Mufti Perlis Datuk Arif Perkasa Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs Hj Mohd Nazim Mohd Noor.

Tambah Tuanku Raja Muda lagi, mangga lain mempunyai bahu yang sama tinggi manakala Harumanis mempunyai bahu yang tidak sama tinggi antara kiri dan kanan. Dibahagian paruh mangga harumanis mempunyai dua bentuk bucu.

Dari segi tekstur isi buah berbeza, kerana mangga lain lebih berserat dan ketara serta banyak jus, manakala Harumanis memiliki serat yang amat halus dan sedikit jus tetapi jauh lebih manis.

Justeru, Tuanku Syed Faizuddin Putra menasihatkan orang ramai supaya mengetahui ciri-ciri sebenar mangga Harumanis Perlis dengan merujuk kepada Jabatan Pertanian Negeri Perlis atau melayari laman sosial rasmi Jabatan Pertanian Negeri bagi mengelak daripada ditipu untuk mendapatkan maklumat tepat.

“Penjualan yang menggunakan nama Harumanis Perlis bagi melariskan jualan juga akan dipantau oleh pasukan khas diketuai oleh KPDNKK (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan), Jabatan Pertanian dan FAMA serta dibantu beberapa agensi lain”, titah Tuanku Syed Faizuddin Putra.

Terdahulu turut diadakan ialah sesi ‘Ceramah Islah Ummah’ oleh pihak E-Idaman Sdn Bhd yang disampaikan oleh Pegawai Komunikasi Korporatnya, Mohd Zabidi Romli dan juga promosi Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) dan juga Rejimen 504 Askar Wataniah.

(Visited 565 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button