Belang Bertempat

Hanya Megathron yang mengenal Decepticon

LAMA Belang tidak menulis. Al maklumlah zaman sukar ini terpaksa ke sana dan sini serta sinun mencari rezeki.

Satu kerja tidak cukup untuk menampung sara hidup dengan pendapatan menguncup macam bunga raya kering di musim kemarau, sedangkan kos hidup meroket macam roket DAP.

Sampai ada page baru diwujudkan di Facebook iaitu Bisne apa tak jadi. Kalau PKP sebelum ini page Masak apa tak jadi, yang popular. Sekarang situasi sudah berubah.

Namun, diharapkan dengan program vaksinisasi yang sedang berlangsung, ia memberi sinar untuk kita mengharungi hidup yang lebih baik.

Janganlah sampai ada yang nak tukar agama dan bunuh diri kerana tekanan hidup masa kini. Terus bertahan itu adalah cukup baik buat masa ini.

Ketika rakyat marhaen berjuang untuk hidup, orang politik pula berjuang untuk kelangsungan karier mereka.

Jadi tidak hairan kini walaupun dalam situasi getir pandemik dan ekonomi yang memburuk orang politik tetap dengan permain percaturan kuasa mereka.

Jual beli sokongan dan suara berterusan. Inilah berlaku apabila kerajaan yang ada hari ini tidak absah dan menjadi bidan terjun setelah kerajaan lama runtuh.

Dengan kelebihan majoriti satu atau dua suara kerana boleh bertukar sekelip mata apabila ahli parlimen menarik balik sokongan, kerajaan memang sukar berfungsi.

Kitaran ini tidak akan berakhir selagi tiada undang-undang menyekat orang politik bermain politik keji lagi maha hina ini.

Yang bising mahu wujudkan undang-undang ini pun ialah orang politik. Jadi ia tinggal bising-bising di atas kertas sahaja dan di media sosial.

Satu hari mereka juga akan melompat. Seperti video tersebar mengenai bekas pemimpin UMNO yang melompat ke Bersatu.

Beriya-iya beliau menuduh mereka yang melompat parti sebagai pengkhianat dan mengikut hawa nafsu dan bukan menjunjung perjuangan, tetapi tiba-tiba sahaja dia yang melompat dan kini menjadi pakar pencatur.

Anjing kalau sudah biasa makan bangkai, setidaknya akan mencium dan menjilat juga dia.

Tersebar juga cerita orang politik kini dijual beli seperti kuda. Kenapa istilah kuda digunakan dan tidak lembu atau kerbau?

Sebabnya kuda harganya mahal. Lagipun kalau dia melompat lagi hebat katanya nilai lompatan mencecah puluhan juta.

Tapi itu hanya dakwaan, Belang tidak mahu mempercayainya. Kerana Belang masih percaya ahli politik di negara ini masih lagi mengamalkan integriti.

Ada juga cakap-cakap pilihan raya akan berlaku lagi tiga bulan iaitu bulan enam, sebelum bulan tujuh.

Kenapa bulan tujuh, senang sahaja kerana selepas bulan tujuh lebih tujuh juta pengundi berusia lebih 18 tahun akan mengundi.

Pengundi muda dan kali pertama ini biasanya tidak memperdulikan perjuangan atau parti.

Mereka pilih apa yang mereka mahu pilih. Sudah tentulah bukan orang tua yang berusia emas hingga tidak lagi mampu melangkah kaki ke dewan parlimen.

Jangan terkejut jika Iman Troye penyanyi remaja yang lagunya ditonton lebih 9 juta dipilih jika bertanding pada pilihan raya kelak.

Dan tentulan pemimpin muda seperti Syed Saddiq akan menjadi pilihan, walaupun parti Muda belum dapat didaftarkan.

Jadi politik negara yang didominasi oleh golongan warga emas ini tidak akan membenarkan ia berlaku.

Jika ada anak muda bertanding sekalipun itu adalah anak kepada pemimpin warga emas yang sudah tidak layak bertanding kerana disabitkan dengan kes mahkamah dan sebagainya.

Negara kita tidak boleh bergerak ke hadapan selagi pemikiran lama terus menjadi teras pentadbiran negara.

Mereka hanya memikirkan cara untuk terus berkuasa dan skil taici mereka sangat tinggi dan sukar dilawan oleh orang muda.

Jadi sebab itu Belang bersetuju jika pada pilihan raya akan datang UMNO bergabung dengan DAP dan PKR. Selain akan membentuk kerajaan yang kuat, ketiga-tiga parti ini mempunyai pemimpin muda yang berkualiti.

Bila kerajaan kuat warga emas di dalam ketiga-tiga parti itu dapatlah bersara dengan tenang.

Peralihan kuasa ke anak muda dapat dilakukan dengan lancar. Tidaklah seperti sekarang. Hendak dikatakan kerajaan pun bukan kerajaan. Hendak dikatakan pembangkang bukan pembangkang. UMNO dan BERSATU asyik bertikam depan dan belakang. Pas hanya mengira untung serta laba.

AMANAH bertaburan sehingga peniang Mat Sabu dibuatnya. PKR jangan ceritalah sudah berpecah kepada berapa kumpulan. Hanya DAP sahaja yang agak tenang. Sebabnya mereka bijak tidak mencuci kotoran dikhalayak.

Jadi apa yang kita ada hari ini ibaratnya hantu bukan hantu, manusia bukan manusia.

Kalau kita tonton filem Transformer kita faham bahawa Decepticon boleh menyamar pelbagai watak dan ibarat sesumpah. Dan hanya Megathron yang mengenal yang mana satu Decepticon atau pengkhianat.

Itulah yang berlaku di negara kita. Tapi kalau kita tonton filem The Avengers, dunia diselamatkan dengan kebangkitan Ant-Man yang berjaya keluar dari perangkap masa sejak berkurun.

Ant-Man yang menyelamatkan dunia daripada atuk Thanos yang gila hendak jadi tuhan dengan memusnahkan sebahagian besar mahkluk di muka bumi ini, kononnya untuk keseimbangan cakerawala.

Nota: Belang masih menunggu sambungan filem Minions.

 

 

 

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button