Bola SepakSukan

Hanya empat pemain Krasnodar melutut sokong Black Lives Matter

KRASNODAR dikritik hebat selepas hanya empat pemain melutut sebelah kaki sebagai tanda sokongan kepada kempen Black Lives Matter (BLM) sebelum perlawanan Liga Juara-Juara menentang Chelsea bermula, awal pagi tadi (waktu Malaysia).

Segelintir penonton yang menyaksikan pertemuan itu jelas berang kerana hanya barisan pemain Blues yang berbuat demikian sebagai tanda solidariti dengan BLM sebelum sepak mula di barat daya Rusia, tetapi hampir majoriti pemain pasukan lawan gagal mengikut jejak langkah mereka.

Hanya empat pemain Krasnodar mencontohi apa yang dilakukan pemain Chelsea sebelum permainan bermula.
Dicetuskan daripada tragedi kematian George Floyd, Mei lalu, perbuatan itu dilihat sebagai simbol global menentang perkauman.

Segelintir peminat telah menjadikan Twitter sebagai platform meluahkan rasa jijik mereka terhadap sikap yang ditunjukkan majoriti pemain Krasnodar itu.

Salah seorang peminat menulis: “Wow. Sedang menonton perlawanan dan mereka melutut sebelah kaki sebagai menyokong kempen menghentikan perkauman dan lebih daripada separuh pemain Krasnodar sekadar berdiri.

“Memang gila, bagaimana perkauman masih terus diamalkan di sebahagian tempat di dunia ini.”

Seorang lagi peminat pula berkata: “Jadi, sekurang-kurangnya separuh daripada pasukan Krasnodar tidak melutut untuk BLM.

“Mengapa ia tidak mengejutkan saya, daripada sebuah pasukan Rusia?”

Dalam satu lagi kicauan peminat di Twitter pula menyatakan: “Amat berharap Krasnodar akan dikenakan hukuman selepas enggan melutut sebelah kaki.”

Sementara itu, seorang lagi peminat pula menambah: “Hey @btsport, mengapa anda menyunting perbuatan pemain-pemain Krasnodar yang enggan melutut?

“Halakan kamera ke arah mereka dan malukan mereka.”

Perlawanan itu turut mencetuskan kontroversi, apabila Jorginho tidak dihadiahkan sepakan penalti untuk pasukan pelawat sewaktu separuh masa pertama.

Namun, Chelsea berhasil juga mendahului permainan sebelum rehat babak pertama, terima kasih kepada jaringan menerusi rembatan pemain sayap, Callum Hudson-Odoi.

The Blues mengakhiri pertemuan itu menerusi kemenangan besar 4-0, dengan Timo Werner meledakkan gol melalui penalti, Hakim Ziyech menjaringkan gol untuk aksi sulungnya dalam kesebelasan utama dan Christian Pulisic menyumbat gol pada lewat permainan.

Perlawanan antara Manchester City menentang Marseille, semalam, turut dibayangi isu serupa apabila kelab Perancis itu memilih untuk berdiri tegak berbanding melutut sebelah kaki.

Menurut laporan di Perancis, para pemain Marseille berkumpul di bulatan tengah untuk bertafakur selama seminit sebagai menghormati Samuel Paty, seorang guru yang terbunuh dalam serangan pengganas, minggu lalu.

Bagaimanapun, segelintir peminat tetap berang dengan tindakan mereka kerana tidak melutut sebagai sokongan kepada BLM. – The Sun – SM

(Visited 188 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button