Hiburan

Hafiz Hamidun bakal tampil dengan konsert virtual

Sebahagian kutipan disalur bagi membeli gajet

SELEPAS melalui banyak dugaan dan tertunda ekoran pandemik Covid-19 yang melanda, album Marhaba milik penyanyi, penerbit, komposer Hafiz Hamidun akhirnya dilancarkan pada 1 Januari baru-baru ini.

Dalam sesi sidang akhbar yang diadakan secara maya, Hafiz rancak bercerita tentang rintangan yang dihadapinya termasuk mencari tarikh yang sesuai untuk Marhaba menemui peminat.

Proses rakaman Marhaba menurut Hafiz, dijalankan sejak tahun 2015 lagi sehingga 2019 namun tahun lepas album tersebut yang mengandungi 13 trak terpaksa dibuat rakaman semula vokal.

“Memang benar kalau nak diikutkan, kos rakam semula vokal yang dikeluarkan boleh sahaja merakamkan sebuah album.

“Tetapi saya rakam semula vokal kerana faktor usia yang ada memberi perubahan terhadap bunyi suara,”’ katanya sambil menambah, Universal Music bertindak sebagai pengedar album terbaharunya itu.

Berkonsepkan selawat, album Marhaba kata Hafiz bolehlah dianggap sebagai satu kesinambungan daripada album-album terdahulu beliau yang masih mendapat sambutan sehingga ke hari ini.

“Zikir Terapi adalah album yang masih diterima sehingga ke hari ini dan Marhaba diharap dapat memberi kebaikan kepada pendengar.

“Lagipun saya memang berhasrat untuk menghasilkan sebuah album penuh selawat dan pemilihan selawat terdiri daripada yang popular.

“Selama lima tahun pembikinan album Marhaba, saya pergi ke Istanbul (sebelum Covid-19) walaupun bercuti, saya tetap membuat kajian dan bertemu dengan penerbit album dan pemuzik.

“Kajian bukan sahaja dibuat di Malaysia dan Indonesia tetapi juga di serata dunia termasuk negara Arab untuk mencari selawat manakah yang biasa dan diterima secara global,” ujar Hafiz.

Pada hemat Hafiz, beliau tidak perlu bersaing dengan penyanyi genre pop kerana itu bukan satu masalah besar.

“Kita perlu tahu kebolehan dan limitasi… sampai manakah produk yang dihasilkan itu boleh pergi dan setiap produk itu unik dan itulah yang menjadi faktor jualan di pasaran (selling point),” kata Hafiz.

Mencari formula yang ‘kena’ dengan konsep album, Hafiz berkata, beliau menggunakan formula yang sama dengan penyanyi Maher Zain.

“Saya jeles dengan Maher Zain tetapi jeles dalam bentuk yang baik, positif. Saya mengambil formula yang sama dengan Maher Zain.

“Lagu-lagu dia simple dan zikir diulang. Itu diterima pendengar dan di sinilah saya dapati, formula yang digunakan ialah melodi yang tidak terlalu kompleks selain berkualiti,” katanya.

Seperkara lagi dalam penghasilan album, tambah Hafiz, perlu tahu album itu mahu dibawa kepada siapa.

Dunia hari ini tidak sama seperti sebelum wabak koronavirus melanda dan kehidupan hari ini sukar, tidak seperti lima tahun lalu.

Kata Hafiz, dalam kerja-kerja kebajikan, beliau bekerjasama dengan organisasi kebajikan dan ada rezeki, disalurkan bagi membantu mereka yang memerlukan terutamanya kalangan artis.

“Semasa banjir kita lihat ramai yang membantu. Anak-anak sekolah yang nak belajar secara PdPR tidak boleh akses sebab tidak mempunyai gajet.

“Oleh itu, saya berhasrat untuk mengadakan sebuah konsert secara virtual supaya apa yang dapat dikutip dananya, dapat disalurkan bagi membeli komputer atau gajet yang diperlukan,” katanya.

Dengan tegas, Hafiz berkata, hasrat untuk mengadakan konsert virtual itu tidak ada agenda tersembunyi ataupun agenda individual.

Sebaliknya, beliau mahu melakukannya kerana bersimpati terhadap orang yang susah dan memerlukan bantuan.

“Saya juga kena berbuat sesuatu untuk membantu walaupun tidak mempunyai dana yang besar. Saya mahu buat sekurang-kurangnya satu showcase virtual.

“Dari situ, sebahagian besar kutipan dapatlah saya bagi sumbangan kepada anak-anak sekolah yang tidak mempunyai gajet atau akses bagi mengikuti kelas PdPR,” katanya sambil menambah, beliau memahami kesukaran golongan yang kurang berkemampuan untuk menyediakan gajet atau peranti untuk anak-anak yang mengikuti kelas secara dalam talian kerana Hafiz juga mempunyai anak saudara yang mengikuti kelas PdPR.

“Saya akan mula membuat rakaman mulai bulan hadapan (Februari) dan kalau boleh konsert atau showcase virtual ini diadakan sebelum Ramadan.

“Setakat ini saya tidak mempunyai perancangan yang khusus lagi. Kalau sudah ada matlamat dan niat untuk membantu, insya-Allah. Kita tunggu dan lihat,” katanya mengakhiri perbualan. – SM

(Visited 377 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button