Nasional
Trending

Pelaburan langsung asing ke Malaysia jatuh teruk, Azmin perlu beri penjelasan

MENTERI Kanan Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali perlu memberi penjelasan kenapa pelaburan langsung asing (FDI) ke Malaysia jatuh teruk berbanding negara ASEAN yang lain.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyhraf Wajdi Dasuki berkata, dalam laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perdagangan dan Pembangunan (UNCTAD) yang diterbitkan tiga  hari lalu, FDI negara-negara ASEAN bagi tahun 2020 menyaksikan Malaysia ditempat keenam.

Katanya, berbanding dengan negara lain, FDI ke Malaysia jatuh 68 peratus berbanding Filipina yang naik 29 peratus.

Katanya lagi, Singapura di tempat pertama dengan  US$58 bilion (jatuh 37%), Indonesia kedua dengan US$ 18 bilion (jatuh 24%), ketiga ialah Vietnam dengan FDI US$ 14 billion (jatuh 10%), Thailand keempat dengan nilai US$11.4 billion (jatuh 50%) kelima ialah Filipina US$6.4 billion (naik 29%) dan Malaysia di tangga keenam hanya dengan US$2.5 billion (jatuh 68%).

“Amat menyedihkan lagi mengecewakan, Malaysia yang satu ketika sentiasa berada pada kedudukan teratas dan dikenali sebagai destinasi mesra dan tumpuan utama pelabur asing, kini berkedudukan tercorot.

“Nampaknya kepercayaan dan keyakinan (trust and confidence) pelabur masih belum pulih terhadap Malaysia setelah berlakunya perubahan Kerajaan pada 2018.

“Antara punca utama adalah KETIADAAN POLISI EKONOMI JELAS yang membentuk persepsi bahawa Kerajaan boleh menukar dasar sedia ada yang mungkin tidak memihak pelabur untuk segmen tertentu.

“Antara perkara yang menjadi faktor penentuan kemasukan pelaburan asing ialah prinsip Pengurusan Risiko pelaburan dan perdagangan antarabangsa yang dipanggil ‘Sovereign or Political Risk’ atau Risiko untuk berdagang dengan sesebuah negara,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Petunjuk penting ‘sovereign risk’ kara Dr. Asyraf  ialah apabila kontrak-kontrak yang termetrai boleh berubah apabila berubahnya sesebuah kerajaan.

Katanya, banyak peristiwa yang menyumbang kepada peningkatan ”sovereign risk’ atau persepsi risiko untuk berdagang dengan Malaysia setelah jatuhnya Kerajaan BN tahun 2018, antaranya pembatalan kontrak perjanjian projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dengan syarikat konglomerat Negara China, China Communications Construction Group Ltd (CCCC).

Selain itu ialah penamatan kontrak perjanjian projek HSR dengan Kerajaan Singapura, penamatan projek Saluran Paip Pelbagai Produk (MPP) sepanjang 600km daripada Melaka dan Port Dickson ke Kulim Kedah bernilai RM 5.35 bilion dan pembatalan projek Saluran Paip Gas Trans-Sabah (TSGP) sepanjang 662km daripada Terminal Gas Kimanis ke Sandakan dan Tawau bernilai RM4.04 bilion walaupun proses pembinaan sedang berjalan.

Turut menjejaskan kepercayaan pelabur luar terhadap Malaysia ialah pembatalan projek-projek infrastruktur di Sarawak yang menghubungkan kawasan terpencil seperti jambatan Batang Rambungan, Kuching; jambatan Kuala Kemena, Bintulu; jambatan Batang Lassa, Mukah; jambatan Batang Saribas, Betong; jambatan Batang Krian, Betong dan jambatan Batang Paloh, Mukah. Kerajaan Sarawak terpaksa membiayai sendiri projek ini bagi mengelakkan rakyat negeri tersebut ketinggalan.

Selain itu ialah tuduhan liar wujud rasuah dan penyelewengan terhadap syarikat Negara China yang berurusan di Malaysia setelah PH naik memerintah sedangkan Presiden Xi Jinping antara yang keras dan tegas menentang korupsi.

“Semua insiden di atas amat mempengaruhi persepsi dan sentimen pelabur luar negara ke atas Malaysia hingga menjunamnya kejatuhan nilai FDI yang pastinya memberi kesan langsung kepada peningkatan kadar pengangguran dan pembuangan kerja apabila banyak syarikat-syarikat dan kilang-kilang ditutup atau berpindah ke negara-negara jiran.

“Justeru Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia meminta YB Datuk Seri Mohamed Azmin Ali selaku Menteri Kanan Ekonomi dan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri untuk segera tampil memperjelaskan kepada rakyat tindakan segera Kerajaan untuk menangani kejatuhan teruk FDI ke dalam negara,” katanya. – SM

(Visited 257 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button