Ekonomi

Guna KWAN kerajaan PN pertaruh masa hadapan generasi akan datang – Mohamad Hasan

Tindakan Kerajaan Perikatan Nasional menggunakan peraturan darurat untuk menggunakan Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) bagi vaksin dan perbelanjaan yang berkaitan dengannya adalah sangat membimbangkan.

Tindakan tersebut, kata Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan sangat menggusarkan dan memperlihatkan kerentanan kemampuan Kerajaan dalam mengurus krisis COVID-19.

“Dalam Belanjawan 2021, RM3 bilion telah diperuntukkan untuk vaksinasi 83% rakyat Malaysia. Namun, tidak ada penjelasan dan pendedahan yang terperinci tentang bagaimana anggaran itu dibelanja atau diuruskan.

“Sebulan yang lalu, peruntukan untuk Program Imunisasi COVID Nasional ini ditambah menjadi RM5 bilion. Tujuannya untuk mempercepatkan sasaran memvaksinkan  80% penduduk menjelang Disember dan bukannya Februari 2022 seperti yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri TS Muhyiddin Yassin sebelum ini.

“Jadi mengapa secara tiba-tiba kerajaan sekarang memerlukan dana daripada KWAN?” katanya.


Kumpulan Wang Amanah Negara ditubuhkan kira-kira 30 tahun yang lalu untuk kepentingan generasi masa depan memandangkan sumber semula jadi yang negara semakin menyusut.

Kata beliau, oleh kerana perkara ini adalah berkepentingan nasional, maka seharusnya ia dibincang dan dipertimbangkan secara menyeluruh oleh semua pihak dengan diserta ketelusan yang tinggi.

“Setakat ini, tidak ada perbincangan antara anggota pentadbiran kerajaan dengan wakil rakyat untuk memastikan kewujudan proses semak dan imbang. Bahkan, tidak ada ruang untuk jawatankuasa pilihan Parlimen memastikan ketelusan serta kebertanggungjawaban memandangkan Parlimen masih digantung, impak daripada peristiharan darurat,” katanya.

Persoalannya, ujar beliau, wajarkah kerajaan Perikatan Nasional mempertaruhkan kesejahteraan generasi akan datang serta kelangsungan masa depan mereka tanpa meneroka pilihan lain terlebih dahulu?

“Kita sebenarnya masih boleh mempertimbangkan untuk menawarkan vaksinasi percuma khusus kepada mereka yang tidak mampu. Bagi yang berkemampuan pula, mereka boleh membayar mengikut kadar harga pasaran.

“Mungkin situasi ini bukan pilihan yang terbaik, tetapi ia pasti lebih baik dari memperjudikan masa depan generasi akan datang,” tegas beliau.

Ayuh jadi penyokong kandungan Suara Merdeka menerusi pautan di bawah :

Subscribe Suara Merdeka (Monthly)

(Visited 123 times, 1 visits today)

Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button