Giliran Gobind, Waytha Moorthy pula ditukar
Oleh Zack Jay
TAN Sri Dr. Rais Yatim yang berpengalaman berkhidmat di bawah enam Perdana Menteri berkata, portfolio komunikasi dan perpaduan juga memerlukan `perubahan’ selepas Dr. Maszlee Malik meletak jawatan Menteri Pendidikan hari ini.
Tegas tokoh budayawan itu, perubahan dua portfolio itu penting untuk menebus kembali lemparan teguran rakyat terhadap kerajaan selama hampir dua tahun ini.
“Pada hemat umum ada beberapa portfolio lagi yang dianalisis sebagai perlu perubahan…komunikasi dan perpaduan dicamkan sebagai tergolong kepada penilaian sedemikian.
“Untuk menebus kembali lemparan teguran rakyat selama hampir dua tahun ini, sektor terkait itu juga wajar diperhitungkan. Jika tidak, kelihatan Parti Bersatu sahaja yang longlai. Ini akan menimbulkan salah persepsi,” kata Rais kepada Suara Merdeka malam ini mengulas peletakan jawatan Maszlee yang juga dari Bersatu.
Portfolio komunikasi dan multimedia dalam Kabinet dipegang oleh Gobind Singh Deo dari DAP manakala Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy yang mengkhusus portfolio perpaduan negara dan integrasi nasional mengetuai Malaysian Advancement Party (MAP).
Mengulas peletakan jawatan Maszlee, Rais yang juga Pengerusi Bersatu Negeri Sembilan mengakui banyak hal dilakukan Maszlee tidak selaras dengan aspirasi dan keutamaan negara bangsa sehingga sektor pendidikan `semacam bermasalah’ di bawah terajunya.
Justeru, beliau percaya pengunduran Maszlee sebagai Menteri Pendidikan hari ini merupakan arus perubahan yang dijanjikan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam pentadbirannya, selaras dengan pengumuman Perdana Menteri mengenai rombakan Kabinet baru-baru ini.
“Sejujurnya Kementerian Pendidikan terlalu besar, justeru mesti dikembalikan semula Kementerian Pendidikan Tinggi,” kata beliau.
Rais antara pemimpin yang lantang mengkritik prestasi Menteri Pendidikan itu selain Penasihat Media dan Komunikasi Perdana Menteri, Datuk A Kadir Jasin.