Nasional

Menteri perlukan penasihat, bukan `pembodek’

Komentar

OLEH: ZACK JAY

SEMUA maklum prestasi Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik.
Sebab itu kebanyakan orang tidak hairan dengan peletakan jawatannya.
Dan tidak pelik pun keputusan Maszlee berbuat demikian atas nasihat daripada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Tetapi ada kalangan orang akademik marhaen `biasa-biasa’ menyuarakan rasa hairan mengapa kelemahan Maszlee yang sudah terang lagi bersuluh pura-pura tidak ternampak oleh kumpulan ilmuan yang tinggi-tinggi kedudukannya.

FLIP FLOP

Antaranya Maszlee pernah flip flop dalam isu kontroversi mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), `stoking hitam’ dan banyak lagi polemik kementerian diterajuinya yang memenatkan benak fikiran rakyat.

Ingatkah kita lagi sekitar November (2019) lepas, sejumlah 18 Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Universiti Awam (UA) sepakat mengangkat Maszlee telah menjalankan tugas sebagai Menteri Pendidikan dengan baik dan penuh bertanggungjawab.

Kata Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Emeritus Datuk Ir Dr Mohd Azraai Kassim, prestasi Maszlee amat memberangsangkan.

Pengekalan menteri berkenaan di portfolio berkenaan perlu diberi keutamaan, dakwa Mohd. Azraai lagi.

BODEK?

Penilaian apa yang mereka ini guna pakai? Mana fakta-faktanya. Sekadar untuk `menyelamatkan tengkuk’ masing-masing kah? Mudah cakap, `bodek’?

Seingat Suara Merdeka, tiada ada apa yang boleh dibanggakan Kementerian Pendidikan di bawah teraju Maszlee selain gelaran paling hangat `menteri kasut hitam’.

Selepas Maszlee meletak jawatan hari ini, pihak media harus segera mendapatkan komen kesemua 18 timbalan naib canselor berkenaan yang telah `mengangkat’ Maszlee. Apa kata mereka kali ini.

Suara Merdeka percaya Mohd. Azraai pastinya setuju bahawa bukan mudah sebenarnya menganggotai Kabinet waktu dulu-dulu.

Menjadi timbalan menteri waktu itu pun sudah cukup baik, ibarat menang pingat emas Sukan Asia. Kalau menteri, lagilah ibarat emas Olimpik.

Pelantikan timbalan menteri suatu aperantis sebelum pelantikan menteri penuh, suatu matlamat akhir ahli-ahli politik dalam kerajaan.

Suara Merdeka tidak lupa ada ada beberapa timbalan menteri yang berkhidmat melebihi 10 tahun sebelum diangkat menteri. Tan Sri Megat Junid Megat Ayob (Allahyarham) dianggap contoh yang baik seorang pemimpin yang bermula dari bawah. Bermula sebagai setiausaha politik kepada Dr. Mahathir pada 1974, beliau memanjat tangga terus ke jawatan menteri pada 1995.

Aura Megat Junid selaku timbalan Menteri Dalam Negeri umpama kenyataan Perdana Menteri memegang portfolio kementerian itu yang jarang keluarkan komen.

CEKAP, PRODUKTIF

Hakikatnya, dalam tempoh pelantikan sebagai timbalan, banyak perkara dipelajari dan dikuasai. Antaranya menjadi pendebat yang baik di Parlimen, belajar mengambil dan melaksanakan arahan, belajar menulis laporan politik dan kementerian, menguasai teknik bacaan laju dan menganjurkan aktiviti-aktiviti sosio-politik.

Juga, tidak boleh ketepikan `penangan’ karismatik beberapa setiausaha politik (polsec) yang cekap dan produktif sehingga menempatkan diri mereka sebagai menteri.

Tun Musa Hitam (bekas Timbalan Perdana Menteri), Allahyarham Tan Sri Mohamed Rahmat (Penerangan) dan Tan Sri Ong Ka Ting (bekas Presiden MCA/Perumahan dan Kerajaan Tempatan) sebagai contoh, mewakili kategori berwibawa ini. Walaupun polsec dilantik oleh Perdana Menteri, beliau berkhidmat kepada menteri tertentu sepenuhnya

BEKERJA KERAS

Seingat Suara Merdeka, kritikan Penasihat Media dan Komunikasi Perdana Menteri, Datuk A Kadir Jasin terhadap prestasi menteri-menteri dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH) tempoh hari juga bukan perkara baharu.

Apabila calon PH dari DAP tumpas dalam Pilihan Raya Kecil Cameron Highlands Januari tahun lalu, beliau menempelak akan apa yang dilihatnya semasa kempen PRK itu, “para menteri dan timbalan menteri berkumpul di meja VIP dan tidak bergaul dengan rakyat”.

“Menteri-menteri, timbalan menteri dan pembantu politik tidak bersahabat dan tidak lagi bekerja keras macam zaman mereka jadi pembangkang.

“Saya terpaksa memberi markah yang rendah kepada menteri yang bertanggungjawab untuk pengeluaran makanan, bekalan, pengangkutan, harga, pemantauan dan penguatkuasaan.
“Harga makanan yang berpatutan menjadi isu. Orang tua dilaporkan mati kerana mahukan makanan percuma,” kata Kadir dalam tulisan blognya 29 Januari 2019.

Menteri memerlukan penasihat, bukan `pembodek’. Betulkan begitu Mohd Azraai?– SM

(Visited 231 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button