
Malaysia Di Mata China, Keyakinan Xi Jinping Terhadap Kepimpinan Baharu
PRESIDEN China, Xi Jinping menyambut baik kepimpinan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sambil menyifatkan Malaysia berada di landasan yang kukuh untuk terus berkembang sebagai sebuah negara maju dan stabil di rantau ini.
Kenyataan itu dibuat sempena lawatan kenegaraan beliau ke Malaysia pada 16 April, bertepatan dengan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara Malaysia dan China.
Menurut Xi, sejak kunjungannya yang terakhir pada 2013, beliau melihat transformasi positif yang dilalui Malaysia dan optimis terhadap hala tuju negara ini di bawah kepimpinan sedia ada.
“Saya percaya dengan kebijaksanaan dan wawasan Seri Paduka Baginda dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Malaysia akan terus berkembang maju dan memainkan peranan penting di peringkat serantau,” katanya dalam satu kenyataan rasmi.
Xi Jinping turut menyifatkan hubungan dua hala Malaysia-China sebagai “kukuh seperti batu” dan terus berkembang dalam semangat saling mempercayai serta saling menguntungkan.
Kedua-dua negara telah mencapai kata sepakat untuk membina komuniti berkongsi masa depan pada tahun 2023, menandakan fasa baharu dalam hubungan diplomatik yang lebih strategik.
Sebagai bukti komitmen mendalam, lebih 30 perjanjian kerjasama dimeterai sepanjang lawatan Presiden China itu – meliputi bidang seperti ekonomi digital, kecerdasan buatan (AI), perdagangan perkhidmatan, pembinaan taman perindustrian berkembar, serta pertukaran pendidikan dan budaya.
Kunjungan Xi juga membawa mesej penghargaan terhadap peranan aktif Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini. Presiden China menegaskan kesediaan negaranya untuk terus bekerjasama rapat dengan Malaysia dalam pelbagai platform serantau dan antarabangsa.
Lawatan ini bukan sahaja memperkukuh hubungan diplomatik Malaysia-China, malah memperlihatkan keyakinan kuasa besar dunia terhadap kestabilan dan potensi Malaysia sebagai pemimpin serantau.