fbpx
Politik

Gesaan Dr. Mahathir berundur hanya rugikan PH- Jaziri Alkaf

KUCHING – Gesaan berterusan supaya Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad berundur adalah satu retorik yang akan hanya merugikan Pakatan Harapan (PH) apatah lagi ketika ini beliau telah berjaya mengembalikan Malaysia ke landasan yang betul serta menaikkan imej negara di persada antarabangsa, kata Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sarawak, Jaziri Alkaf Suffian.

Katanya, pihak yang mahu Dr. Mahathir berundur terutama di Sarawak seperti Presiden Movement for Change Sarawak (MoCS), Francis Siah perlu mengenang kembali pengorbanan dan jasa yang beliau telah lakukan sehingga membolehkan PH berjaya memenangi Pilihan Raya Ke -14 lepas.

“Hakikatnya sebelum kemasukan Dr. Mahathir dalam blok pembangkang untuk menghadapi pilihan raya lepas, mereka telah berulang kali berusaha untuk merubah kerajaan dalam beberapa pilihan raya namun tidak pernah berjaya.

“Hanya dengan pengorbanan dan kemasukan Dr. Mahathir ketika itu telah berjaya merubah kerajaan serta mempengaruhi rakyat untuk bersama beliau menentang kerajaan kleptokrat yang telah menjerumus negara dalam hutang yang besar.

“Dan kini apabila telah menjadi kerajaan ada pihak yang berterusan memberi tekanan kepada Dr. Mahathir supaya berundur atas alasan ada perjanjian beliau hanya menjadi Perdana Menteri untuk dua tahun sahaja.


“Sedangkan perjanjian itu tidak wujud sama sekali. Yang hanya disebutkan adalah nama Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon.

“Oleh itu tekanan untuk Dr. Mahathir menyerahkan kuasa adalah tidak wajar kerana ia akan hanya mengganggu pentadbiran negara serta memberi kesan besar kepada pelabur dari luar negara kerana tiada kestabilan politik dalam negara,” katanya.

Ujar beliau lagi kini Dr. Mahathir telah berjaya menjalankan tugas dengan cemerlang dan kesinambungan ini perlu dikekalkan terutamanya buat masa ini.

Oleh itu kata Jaziri Alkaf, tidak nampak keperluan untuk Dr. Mahathir berundur sebelum misi membina semula negara yang diterajui beliau ini diselesaikan dengan sempurna.

“Kami di Bersatu Sarawak akan tetap berdiri teguh di belakang kepimpinan Dr. Mahathir dan saya menggesa keseluruhan kepimpinan PH di Sarawak dan juga di seluruh negara supaya kekal menyokong kepimpinan Dr. Mahathir sehingga habis penggal,” kata Jaziri Alkaf lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button