Gerakan, tak gerak tak makan
APABILA Barisan Nasional (BN) tumbang, parti Gerakan tidak mengambil masa lama untuk membuat keputusan untuk menyertai Pakatan Harapan (PH).
Pada ketika itu heboh Datuk Seri Azmin Ali akan menyertai Gerakan kerana tidak sebulu dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bagaimanapun selepas segala sepak terajang perkara itu tidak berlaku sampai akhirnya, sehinggalah Langkah Sheraton yang digerakan oleh Azmin bersama-sama sekumpulan pemimpin UMNO, Bersatu dan PKR.
Langkah itu menyebabkan kerajaan PH tumbang dan kerajaan baharu dibentuk diberi nama Perikatan Nasional (PN).
Bagaimanapun seperti biasa Gerakan bersempena sambutan Tahun Baru Cina telah menyertai PN menjadikan kini perikatan itu adalah gabungan Bersatu dan Pas, manakala UMNO bertindak sebagai parti yang friendly dengan kerajaan hari ini.
Bagaimanapun berlaku percakaran demi percakaran antara UMNO dengan Bersatu, lantaran Bersatu adalah parti serpihan UMNO dianggap seperti gunting dalam lipatan, api dalam sekam yang akan memusnahkan UMNO secara senyap.
Sebenarnya penyertaan Gerakan tidak memberi apa-apa impak kerana parti berkenaan tidak mempunyai sebarang ahli parlimen.
Mungkin langkah kali ini motifnya tetap sama iaitu menjadi platform kepada kumpulan Azmin untuk menyertai Gerakan.
Ini bermakna Penggerak Komuniti Prihatin yang menjadi patform kumpulan berkenaan bergerak, akan kekal sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang ditubuhkan di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Ini bermakna pilihan raya akan semakin hampir dan PN sedang mempersiapkan diri sebelum keputusan menarik kembali proklamasi Darurat dan memaksa pilihan raya dijalankan kerana kerajaan dewasa ini sudah tidak mempunyai majoriti sokongan ahli parlimen.
Pas sudah membulat tekad akan bersama dengan Bersatu dan kini turut diikuti oleh Gerakan, cuma UMNO sahaja masih lagi membuat perkiraan dan percaturan kerana akar umbi berkenaan enggan bekerjasama dengan Bersatu.
Mereka lebih rela kalah bermaruah daripada bekerjasama dengan mereka yang melompat dan menikam parti itu dari belakang.