Gambar Muhamad Sanusi hadir raptai angkat sumpah tersebar
GAMBAR yang tular ini seolah-olah mengesahkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri, Muhammad Sanusi Md Nor akan mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kedah petang ini.
Ia menunjukkan Muhamad Sanusi telah hadir untuk raptai majlis angkat sumpah.
Portal Kedah Gazette melaporkan majlis raptai berkenaan dilaporkan diadakan di Wisma Darul Aman petang semalam.
Jika itu menjadi kenyataan, maka sekali lagi Datuk Seri Mukhriz Mahathir terpaksa melepaskan jawatan itu.
Majlis angkat sumpah itu dijangka berlangsung pada pukul 4 petang ini.
Sebelum ini dilaporksn spekulasi mengenai kedudukan Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai menteri besar Kedah dikatakan bakal terjawab petang ini.
Dikatakan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jenari, Muhamad Sanusi Md Nor akan mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kedah yan baharu bagi menggantikan Mukhriz.
Kedudukan Mukhriz tergugat selepas hilang sokongan majoriti dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) ekoran tindakan dua ADUN daripada PKR bertindak keluar dari parti itu.
ADUN Sidam, Dr Robert Ling Kui Ee dan ADUN Lunas, Azman Nasrudin mengumumkan keluar parti dan mengisytiharkan sokongan kepada Perikatan Nasional (PN).
Memetik laporan Kedah Gazette difahamkan nama Mohamad Sanusi merupakan satu-satunya yang disenaraikan sebagai bakal dilantik Menteri Besar Kedah.
- 23 ADUN termasuk 4 dari Bersatu hilang keyakinan terhadap Mukhriz
- Saya masih menteri besar – Mukhriz
Portal berita itu melaporkan majlis mengangkat sumpah Menteri Besar akan berlangsung pada pukul 2 petang ini di Wisma Darul Aman, Alor Setar.
Dikatakan ia akan dimulai dengan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ammar Shaikh Mahmood Naim melafazkan surat pengisytiharan pelantikan Menteri Besar.
Selepas itu Menteri Besar yang baharu akan mengangkat sumpah di hadapan Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah dan menandatangi surat sumpah tersebut.
Sultan Sallehuddin kemudian akan mengurniakan tauliah pelantikan.
Pada Selasa lalu, 23 ADUN Kedah menyatakan hilang keyakinan terhadap Mukhriz.
Mohamad Sanusi yang juga ketua pembangkang di DUN, dalam sidang media berkata, kesemua ADUN termasuk empat dari Bersatu dan dua dari bekas ADUN PKR telah menandatangani akuan berkanun bagi menyatakan hilang keyakinan mereka terhadap Mukhriz. – SM