Nasional

Gagasan Keluarga Malaysia solusi permasalahan ekonomi kapitalis

Gagasan Keluarga Malaysia adalah jawapan atau solusi kepada permasalahan ekonomi kapitalis yang semakin membelenggu kehidupan seharian serta melebarkan jurang kehidupan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, gagasan yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob itu akan membentuk masyarakat yang lebih adil dan saksama.

Falsafah itu, ujar beliau ada berlawanan dengan pegangan kapitalis di mana yang kaya akan semakin kaya, manakala yang miskin akan terus tertindas.

Konsep pemerintahan negara sebagai sebuah keluarga, jelas beliau membolehkan pihak yang lebih berjaya membantu mereka yang dibebani dengan masalah.

Sebagai contoh ujar beliau, syarikat telekomunikasi dan sarung tangan mencatat peningkatan jualan ketika pandemik, jadi mereka perlu membantu golongan yang terhimpit kehidupan seperti masyarakat di luar bandar yang tidak mampu menyediakan gajet kepada anak-anak untuk belajar secara atas talian.

Annuar ketika bercakap pada penampilan sulong beliau selaku Menteri Komunikasi dan Multimedia di program Bicara Naratif terbitan RTM juga menekankan betapa penting kemudahan internet dan ia telah menjadi satu hak asasi manusia pada masa ini.

Menurut beliau, masyarakat mungkin boleh membantu sesama sendiri jika membabitkan kekurangan keperluan asas seperti makanan, tetapi mereka tidak dapat berbuat apa-apa jika tiada liputan internet dan peranan itu dipikul sepenuhnya oleh kerajaan.

Beliau juga mengingatkan bahawa setiap individu di dalam masyarakat mempunyai peranan masing-masing bagi memastikan kejayaan Keluarga Malaysia.

Justeru jelas beliau setiap individu harus diberi peluang untuk meningkatkan potensi diri dan seterusnya menyumbang tenaga kepada negara.

”Saya jadi sedih apabila melihat gelandangan, mereka tidak mampu berfungsi menyumbang kepada negara dan itu bukan kehendak mereka, tetapi kerana kesempitan hidup.

”Jadi kita bantu mereka untuk bangkit kembali sebagai sebuah keluarga dan semua memainkan peranan dan bukan hanya menteri semata-mata, bahkan semua termasuk pekerja pembersihan dan sebagainya,” katanya.

 

(Visited 395 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button