Politik

“Saya terpaksa bertindak pastikan PH disokong kleptokrat tidak perintah negara” – Muhyiddin

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau terpaksa bertindak menyekat Pakatan Harapan (PH) dengan sokongan kleptokrat daripada mengambil alih tampuk kepimpinan negara.

Bekas perdana menteri itu berkata, beliau boleh mengambil pendirian untuk mendiamkan diri selepas meletakkan jawatan tempoh hari.

Presiden Bersatu itu berkata demikian ketika berucap pada majlis sambutan ulang tahun kelima Bersatu yang disiarkan secara langsung melalui laman Facebook beliau, malam ini.

“Pada masa itu (PRU-15), PN dan saya sebagai Pengerusinya akan mengambil bahagian dalam pilihan raya.Insya-Allah, dengan izin Allah dan sokongan rakyat, kita akan bangkit semula!” katanya.

Beliau juga menegaskan, Pakatan Harapan (PH) dengan sokongan kumpulan kleptokrat berkemungkinan kembali menjadi kerajaan sekiranya beliau tidak menetapkan pendirian dalam pemilihan Perdana Menteri baharu.

”Saya boleh memilih untuk berdiam diri dan tidak melakukan apa-apa selepas saya meletak jawatan. Lagipun saya telah berusaha sedaya upaya untuk mempertahankan kedudukan Kerajaan PN. Tetapi saya masih mempunyai tanggungjawab sebagai Presiden Bersatu dan Pengerusi PN.

”Apa jadi kalau saya dan semua Ahli Parlimen Bersatu tidak mengambil apa-apa pendirian dalam pemilihan Perdana Menteri baharu dan pembentukan kerajaan selepas itu. Pertama keadaan politik negara akan terumbang ambing kerana suasana pada ketika itu menunjukkan tidak ada sesiapapun yang mendapat majoriti,” katanya.

Tegas beliau, PH dengan sokongan kumpulan kleptokrat berkemungkinan kembali menjadi kerajaan dan Bersatu menjadi pembangkang.

”Saya berfikiran rasional. Kerana itu saya berbincang dengan ahli-ahli Parlimen Bersatu dan pimpinan parti-parti dalam Perikatan Nasional iaitu Pas, STAR, SAPP dan Gerakan serta pucuk pimpinan parti rakan kita iaitu GPS dan PBS supaya mencalonan Datuk Seri Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri yang baharu,” katanya.

Dengan itu tegas Muhyiddin Bersatu dan parti-parti komponen PN untuk terus berada dalam kerajaan bagi meneruskan usaha-usaha memulihkan negara sehinggalah tiba suatu masa pilihan raya dapat diadakan dengan selamat dan mandat dikembalikan semula kepada rakyat untuk memilih kerajaan baharu.

Beliau juga menyeru ahli-ahli Bersatu supaya terus memberi sokongan kepada Perdana Menteri dalam usaha Ismail Sabri dan barisan Jemaah Menterinya untuk menjaga kebajikan rakyat, memacu pertumbuhan ekonomi dan memulihkan negara.

Muhyiddin menambah, semua ahli Bersatu perlu melakukan segala persiapan menghadapi PRU-15 dengan menumpukan usaha memperkuatkan parti di akar umbi.

“Jangan bersengketa sesama kita. Elakkan perasaan dengki dan irihati. Kukuhkan perpaduan, tingkatkan kerjasama dan lipat gandakan usaha untuk menjadikan Bersatu sebagai parti pilihan rakyat.

“Perkukuhkan kerjasama kita dengan parti-parti komponen PN di semua peringkat khususnya di bahagian dan cawangan. Dasar kita ialah kita tidak boleh bersendirian dalam menghadapi pilihan raya.

“Kita memerlukan sokongan parti-parti komponen PN dan parti-parti rakan kita yang lain untuk memenangi pilihan raya dan membentuk kerajaan,” jelasnya.

Beliau meminta semua pemimpin dan ahli Bersatu meneruskan kerja-kerja amal dan sentiasa mengambil berat tentang kebajikan rakyat.

“Buktikan budaya politik Bersatu ini berbeza. Politik kita ialah politik khidmat. Politik prihatin. Politik jasa kepada rakyat tanpa mengira kaum dan agama. Politik kita bukan politik iri hati dan hasad dengki. Bukan politik perkauman yang melampau. Bukan politik adu-domba, tamak haloba dan kemaruk kuasa,” tegasnya.

Muhyiddin berkata, Bersatu mesti membuktikan nilai kepimpinannya berteraskan prinsip integriti dan amanah serta tidak boleh berkompromi dengan perbuatan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.

“Kita tidak mencampuri urusan mahkamah. Kita menghormati prinsip pengasingan kuasa antara badan Eksekutif, Legislatif dan Kehakiman. Kita juga komited dengan agenda reformasi institusi yang menjamin tatakelola kerajaan yang baik,” ujarnya.

Beliau turut mengumumkan penubuhan Akademi Kepimpinan Bersatu yang akan mengadakan siri latihan berteraskan nilai, roh dan semangat perjuangan parti sepertimana yang termaktub dalam Perlembagaan parti.

“Akademi ini juga akan memberi tumpuan kepada penerapan semangat kebangsaan berteraskan Islam yang menyantuni masyarakat pelbagai kaum dan agama sebagai ideologi Bersatu,” jelasnya.

Muhyiddin menambah, sebagai sebuah parti pribumi, Bersatu akan terus membela nasib orang Melayu dan bumiputera termasuk menjaga kebajikan serta memperbaiki taraf hidup golongan B40 yang sebahagian besarnya terdiri daripada golongan berkenaan.

“Perhatian juga akan diberikan kepada usaha mewujudkan lebih banyak peluang penyertaan Melayu dan bumiputera dalam bidang-bidang pertumbuhan ekonomi utama yang berdaya maju.

“Dalam konteks ini, agenda Wawasan Kemakmuran Bersama yang bertujuan untuk menangani jurang pendapatan antara kaum, wilayah dan kelas sosial akan terus menjadi keutamaan kita,” katanya.

Dalam pada itu Muhyiddin mengesahkan bahawa beliau akan bertanding mewakili Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Walau bagaimanapun, beliau yang juga Pengerusi PN tidak menyatakan dengan jelas sama ada akan mempertahan kerusi Parlimen Pagoh yang disandangnya.

(Visited 224 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button