Nasional

Keluarga Malaysia bukan sekadar istilah – Annuar

KONSEP Keluarga Malaysia yang diperkenalkan oleh pentadbiran Kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bukan sekadar sebuah istilah.

Lebih daripada itu ianya merupakan sebuah nilai yang indah dalam konteks pengurusan dan pentadbiran negara.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata, nilai-nilai dalam keluarga antaranya harmoni, bersatu padu, rasa kecintaan, keprihatinan antara satu sama lain dan kerukunan menjadikan falsafah pengurusan yang sangat besar kepada pembinaan negara.

“Dalam sesebuah keluarga ada perbezaan keluarga yang berpecah belah dengan keluarga yang dibina dalam bersatu padu, harmoni dan rukun.

“Begitu juga dalam negara, rakyat mesti bersama disedarkan bahawa kita dalam satu keluarga besar keluarga Malaysia.

“Maka soal bersatu padu di antara rakyat pelbagai kaum, pelbagai agama, pelbagai keturunan warga kulit dan sebagainya akan memperindahkan, menjadikan negara kita ada satu kekuatan bukan satu kelemahan,” kata Annuar.

Beliau berkata demikian dalam program Bicara Naratif terbitan RTM1 dengan tajuk Hari Malaysia: Kita Keluarga Malaysia.

Annuar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Hari Malaysia 2021 berkata, dalam Keluarga Malaysia tidak ada mana-mana wilayah yang akan ketinggalan dalam pengurusan negara.

“Sejak tahun 1963 kita telah menjadi satu negara, satu keluarga besar Malaysia. Maka penyatuan, kesatuan, perasaan, kenegaraan yang sama walaupun dipisahkan oleh Laut China Selatan ini juga satu nilai dalam konteks Keluarga Malaysia.

“Jadi kita tidak boleh biarkan Sabah ketinggalan dan mundur. Kita tidak boleh biarkan Sarawak kebelakang sebab kita satu keluarga. Kalau adik beradik, takkan satu adik beradik senang kita nak biarkan adik beradik yang lain kita biarkan begitu sahaja,” kata Annuar.

Tambah beliau, walaupun institusi keluarga dilihat sebagai satu istilah yang ringkas namun bila diterjemahkan dalam pengurusan negara dengan mengambil nilai kekeluargaan ia menjadi satu kekuatan.

Justeru katanya, melalui konsep Keluarga Malaysia dalam Bajet 2022 nanti Perdana Menteri Datuk Seri ismail Sabri akan turut memberi tumpuan pembangunan di Sabah, Sarawak, Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis.

“Satu perkara yang cukup hebat apabila nilai-nilai kekeluargaan, kecaknaan, solidariti, kerukunan, mengambil berat satu sama lain, patriotik, sayang pada keluarga, maka nilai-nilai itu dapat kita terapkan bersama demi kebaikan rakyat dan negara kita.

“Jadi istilah keluarga Malaysia amat sesuai bagi negara dan masanya juga hampir tepat. Dia datang menjelang Hari Kebangsaan dan dijelmakan dalam urusan negara semasa kita bakal menyambut hari Malaysia pada 16 September,” kata Annuar.-SM

(Visited 269 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button