pilihanRencah Hidup

Gadis daki gunung tertinggi di benua Eropah catat 9A dalam SPM

Penglibatan di dalam aktiviti sukan lasak mendaki gunung, tidak menghalang seorang pelajar, Sara Sofea Muhammah Illaham, 18, mencatat keputusan cemerlang 9A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia, (SPM) baru-baru ini.

Pelajar Sekolah Menengah Sains Kuala Selangor itu, sebelum ini mencatat kejayaan mendaki ke puncak gunung tertinggi di benua Eropah iaitu Gunung Elbrus di Rusia, setinggi 5,642 meter.

Kejayaan itu diciptanya pada tanggal 15 Ogos 2019, di bawah Program Pendakian Belia Merdeka 2020, anjuran Kelab Jelajah Alpine Malaysia, (KJA).

Atas kecemerlangan akademik dan ko-kurikulumnya itu, KJA telah menyampaikan sumbangan dua ribu ringgit sebagai insentif dan penghargaan kepada Sara Sofea baru-baru ini.

Majlis penyerahan sumbangan itu dilakukan secara dalam talian oleh Pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Yang Farina Abdul Aziz yang juga penggiat sukan mendaki gunung.


Menurut Sara Sofea, beliau bercadang untuk menyambung pengajian dalam bidang kedoktoran disamping akan meneruskan minatnya dalam sukan mendaki gunung.

“Alhamdulillah, syukur kehadrat Allah kerana saya berjaya mencapai sasaran saya untuk mendapat keputusan 9A dalam SPM baru-baru ini. Terima kasih kepada kedua ibu bapa saya yang sentiasa di belakang saya memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi.

“Saya merasa bertuah kerana ayah saya banyak membimbing saya dalam sukan mendaki gunung ini di mana pengalaman ayah saya sebagai Pendaki Everest amat membantu saya dalam semua pendakian saya sebelum ini.

“Minat saya dalam sukan mendaki ini akan saya teruskan dan saya merancang untuk pendakian ke gunung yang lebih tinggi pula selepas ini seperti Gunung Aconcagua, Argentina, yang tertinggi di Amerika Selatan dan Gunung Vinson Massif yang tertinggi di benua Antartika,” katanya.

Sara Sofea berkata, sukan mendaki gunung yang ceburinya telah banyak memberi inspirasi kepada dirinya untuk berjaya di dalam akademik.

Ini kerana menurutnya, kepayahan dan keperitan ketika mendaki gunung telah mengajarnya erti semangat perjuangan dan tidak putus asa dalam apa sahaja yang dilakukan.

“Situasi ketika mendaki gunung yang mencabar itu telah mengajar saya supaya kuat dari segi mental dan fizikal. Semangat itulah yang telah saya gunakan di dalam bidang akademik sehingga saya berjaya mencapai keputusan cemerlang dalam SPM baru-baru ini,” katanya.

Bagi Sara Sofea, pembabitan di dalam sukan ekstrim mendaki gunung itu tidak sesekali menjejaskan tumpuannya di dalam pelajarannya.

Beliau turut berterima kasih kepada bekas Pengetua sekolahnya, Mohd Shahadan Abdul Rahman yang menyokong pembabitannya di dalam sukan mendaki gunung dengan membenarkannya mengambil cuti tambahan ketika melaksanakan pendakian di Gunung Elbrus itu.

Selain itu, Sara Sofea turut menzahirkan penghargaan kepada Bahagian Sukan, Kokurikulum & Kesenian (BSKK), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), atas kerjasama dalam menjayakan pendakian ke puncak tertinggi benua Eropah itu.

“Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada bekas Pengarah BSKK, Encik Zainal Abas, bekas Pengetua saya, Cikgu Mohd Shahadan dan semua guru-guru yang mengajar sembilan mata pelajaran di Sekolah Menengah Sains Kuala Selangor, atas kejayaan ini. Tanpa cikgu-cikgu semua, tak mungkin saya mampu mencapai impian say aini, terima kasih semua”.

Sementara itu, Timbalan Presiden KJA, Zainuddin Lot berkata, pihaknya akan berusaha mencari penaja untuk menyokong impian Sara Sofea untuk menawan dua puncak tertinggi di benua Amerika Selatan dan Antartika itu.

“Kita sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak yang sudi untuk tampil sebagai penaja kepada ekspedisi tersebut dan berharap Sara Sofea akan membawa nama negara sebagai pendaki wanita termuda Malaysia yang berjaya menawan puncak Aconcagua dan Vinson Massif,” jelasnya. -SM

(Visited 18 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button