Politik

Peringatan kepada UMNO: Jangan ugut sembarangan

MENTERI Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa mengingatkan UMNO bahawa ugutan tidak kena pada tempat akan memakan diri selepas parti itu memberi tempoh 14 hari kepada kerajaan untuk memanggil sidang Parlimen.

Bekas setiausaha agung Barisan Nasional (BN) itu berkata, sebagai parti yang pernah mentadbir negara, mereka sepatutnya memahami proses memanggil sidang Parlimen.

“Sepatutnya mereka lebih ‘cool’ dalam memberi pandangan. Ugutan yang tidak kena pada tempat akan memakan diri dan menampakkan agenda sebenar di sebalik kegelojohan,” ciapnya di Twitter malam tadi.

Semalam, UMNO memberi tempoh 14 hari kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk memanggil sidang Parlimen susulan titah Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu supaya Dewan Rakyat bersidang semula secepat mungkin.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, kegagalan kerajaan mematuhi titah itu dianggap satu bentuk penderhakaan dan tidak menghormati institusi raja-raja.

Kata Ahmad Zahid lagi, UMNO akan mengadakan mesyuarat khas Majlis Kerja Tertinggi (MKT) bagi membincangkan tindakan lanjut jika kerajaan gagal berbuat demikian.

Rabu lalu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah sidang Parlimen perlu diadakan secepat mungkin untuk membahaskan Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara kerana menyedari peranan penting institusi itu bagi membincangkan isu berkaitan Covid-19.

Ia disusuli kenyataan bersama Raja-raja Melayu yang berpandangan tiada keperluan untuk darurat dilanjutkan selepas 1 Ogos dan menggesa Dewan Undangan Negeri (DUN) bersidang semula secepat mungkin.

MNSementara itu, Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man senada dengan Annuar bahawa UMNO sepatutnya menyedari proses memanggil sidang Dewan Rakyat.

Katanya, Pas bersetuju Parlimen perlu bersidang semula dan yakin urusetia Dewan Rakyat sedang membuat persiapan berkaitan.

“Sidang Parlimen mempunyai peraturan tertentu termasuk notis soalan kepada Ahli Parlimen dan notis persidangan yang tentu mengambil masa.

“Isu keselamatan Ahli Parlimen semasa persidangan, SOP dalam tempoh perintah kawalan pergerakan perlu dibuat.

“Apa pun bagi Pas, kenyataan perdana menteri dan dan kesediaan mengadakan sidang Parlimen adalah gambaran kesediaan melaksanakan titah Agong,” katanya kepada FMT. – SM

(Visited 216 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button