Dua penyelam terselamat, Sultan Ibrahim beri sumbangan
SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Iskandar berkenan mengurniakan sumbangan peribadi kepada dua penyelam yang ditemui selamat selepas hilang ketika mengikuti latihan menyelam di perairan Pulau Tokong Sanggul, Mersing pada Rabu lalu.
Dalam hantaran di Facebook, kurniaan itu disampaikan kepada warga Britain, Adrian Peter Chesters, 45, dan warga Perancis Alexia Alexandria Molina, 18, oleh Pegawai Daerah Mersing, Mohammed Shakib Ali di wad unit rawatan rapi (ICU) Hospital Pakar KPJ Pasir Gudang.
Kedua-dua mangsa menjunjung kasih atas ingatan dan kurniaan serta mengambil berat keadaan mereka.
Baca artikel ini > Anak saya sudah tiada, kata penyelam yang diselamatkan
Semalam, Adrian Peter dan Alexia Alexandria ditemui pada kedudukan 16 batu nautika utara Pulau Bintan di perairan Indonesia oleh nelayan kira-kira jam 1 pagi.
Adrian Peter turut memberi kenyataan kepada pihak berkuasa bahawa seorang lagi penyelam, anaknya Nathan Renze Chesters, 14, telah meninggal dunia selepas tidak dapat bertahan akibat terlalu lemah.
Baca artikel ini > Indonesia bantu cari penyelam Belanda yang hilang
Jurulatih selam, Kristine Grodem dari Norway ditemui pada hari Khamis lebih 20 batu nautika dari lokasi dipercayai hilang.
Susulan insiden itu, Sultan Johor menitahkan semua aktiviti menyelam di perairan Mersing dihentikan sementara waktu hingga siasatan kes ini dan kajian semula SOP keselamatan selesai.