Kemalangan

Dua penunggang motosikal maut

Dua penunggang motosikal maut selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan Sungai Ragok, Air Paabas, Alor Gajah, Melaka dekat sini petang semalam.

Mangsa yang maut dikenali sebagai Shahrul Effendi Sabtu, 23, dari Jalan Kuala Kati Padang Besar Ayer Paabas dan Taufiq Ikhwan Akmal Abdullah, 15, dari Lubok Cina.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Supretendan Arshad Abu berkata, hasil siasatan dalam kejadian yang berlaku pukul 2.45 petang itu mendapati Shahrul Effendi, seorang pembantu kantin di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) menunggang motosikal Yamaha Lagenda 115Z datang dari arah Air Paabas menghala ke Alor Gajah.

“Seorang lagi mangsa Taufiq Ikhwan yang tidak bersekolah bersama kereta Perodua Bezza yang dipandu seorang suri rumah Amy Dania Azmi datang dari arah Alor Gajah menghala ke Air Paabas,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, seorang saksi memberitahu kemalangan berlaku apabila motosikal jenis Honda Dash 125 yang ditunggang Taufiq Ikhwan telah memotong Perodua Bezza.

Jelasnya, semasa remaja itu memotong kereta berkenaan dia telah bertembung dengan Shahrul Effendi yang datang dari arah bertentangan.

“Remaja itu tercampak ke laluan kiri sebelum dilanggar kereta yang dipandu Amy Dania,” katanya.

Arshad berkata, akibat kemalangan tersebut, kedua-dua penunggang motosikal itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah untuk dibedah siasat.

Sehubungan itu beliau meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian itu untuk tampil membantu siasatan.

Katanya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 14 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Ujarnya, kesemua kenderaan terbabit kini ditahan di Balai Polis Trafik Alor Gajah untuk dibawa ke Puspakom bagi pemeriksaan. – SM

 

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button