Politik

Dr. Mahathir kecewa Guan Eng ubah fikiran

AHLI Parlimen Langkawi Tun Dr. Mahathir Mohamad meluahkan rasa kecewa apabila Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berubah fikiran mengenai pencalonan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal untuk jawatan Perdana Menteri.

Menurut bekas Perdana Menteri itu, idea asal menamakan Shafie datangnya daripada Ahli Parlimen Bagan itu sendiri.

Dalam satu temuramah eksklusif bersama portal The Malaysian Insight, Dr. Mahathir mendedahkan Guan Eng berubah fikiran selepas bertemu dengan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Jadi dia (Guan Eng) mencadangkan Shafie Apdal untuk menjadi calon dan saya langsung tidak terlibat lagi. Saya terpaksa bersetuju. Malangnya, walaupun cadangan itu datang dari dia sendiri, tetapi bila dia bertemu Anwar, dia tukar cadangan kepada Anwar, bukan lagi Shafie.
“Jadi saya rasa sangat kecewa sebab saya telah bersetuju dengan cadangan asal. Saya tanya mereka berulang kali – betul ke anda mahukan Shafie? – dan mereka kata ya. Tetapi selepas bertemu Anwar, mereka berubah fikiran,” kata Dr. Mahathir dalam wawancara tersebut.
Dr. Mahathir bersama enam pemimpin Bersatu yang tersingkir kini menjadi ahli Parlimen bebas selepas keluar dari Pakatan Harapan berikutan isu tersebut. Warisan juga bertindak keluar dari menjadi rakan dalam Pakatan Harapan.
Dalam wawancara tersebut Dr. Mahathir sekali lagi menegaskan beberapa ahli Parlimen tidak mahu Ahli Parlimen Port Dickson itu menerajui kerajaan baharu.

Kita sedang mempunyai masalah. Datuk Seri Anwar tidak mahukan saya. Sementara itu, kami merasakan saya masih mampu menarik sokongan beberapa Ahli Parlimen berbangsa Melayu. Jika kami tidak dapatkan sokongan mereka ini, kita tidak mempunyai bilangan mencukupi untuk menjatuhkan kerajaan.

“Kita perlukan bilangan Ahli Parlimen lebih dari 111. Kita perlu sekurang-kurangnya 113 atau 114 Ahli Parlimen (dalam Dewan Rakyat),” katanya lagi.-SM

(Visited 171 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button