Nasional

Covid-19: Kluster hospital di Sarawak

SEBANYAK 15 kes baharu Covid-19 telah dikesan termasuk lima kes melibatkan kluster baharu di sebuah hospital di Kuching, Sarawak menjadikan keseluruhan kes aktif jangkitan tersebut meningkat kepada 130 orang.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah seramai 61 individu telah disaring terhadap kluster baharu tersebut yang dinamakan sebagai kluster Sentosa. Daripada jumlah itu seramai 5 orang dikesan positif dan baki 56 yang lain negatif.

“KKM ingin memaklumkan sebuah kluster baharu yang melibatkan sebuah hospital di Kuching, Sarawak. Kes pertama kluster ini (iaitu kes ke-8773) merupakan seorang petugas kesihatan yang telah mengalami gejala saluran pernafasan pada 13 Julai 2020 dan dikesan positif COVID-19 pada 19 Julai 2020.

“Kluster ini mempunyai enam kes, iaitu lima petugas kesihatan dan satu pekerja syarikat pembersihan. Kesemua kes ini sedang dirawat di Hospital Umum Sarawak,” kata Dr. Noor Hisham.

Menurutnya, perkhidmatan hospital tersebut masih diteruskan namun tidak menerima pesakit dalam manakala pesakit luar pula akan dirujuk ke hospital berdekatan yang ditetapkan untuk rawatan buat sementara waktu.

Langkah pembendungan dan kawalan jangkitan seperti proses nyah kuman dan nyah cemar sedang dijalankan. Punca jangkitan kluster masih di dalam siasatan.

Selain kluster Sentosa tiga lagi kes jangkitan tempatan dikesan di Sarawak, satu di Selangor dan satu di Sabah.

Empat lagi kes baharu melibatkan kes import iaitu satu kes baru pulang dari United Kingdom, Arab Saudi (1), Belanda (1) dan Indonesia (1).

Sementara itu seramai tujuh orang lagi sembuh dan tiada kematian baharu dicatatkan menjadikan jumlah korban Covid-19 kekal 123 orang.-SM

 

(Visited 108 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button