fbpx
Politik

Dr. M letak Azmin dalam Kabinet untuk lebih porak perandakan PKR

KETUA Setiausaha Pengelola Keadilan Nik Nazmi Nik Ahmad mendakwa Tun Dr. Mahathir Mohamad sengaja meletakkan Datuk Seri Azmin Ali dalam Kabinet Pakatan Harapan untuk memporak-perandakan PKR.

Menurutnya, Dr. Mahathir memberikan jawatan penting kepada bekas timbalan presiden PKR itu, walaupun tidak dicalonkan oleh parti.

“Jika kita mengimbau apa yang berlaku pada peringkat awal penubuhan kerajaan Pakatan Harapan, Dr Mahathir telah meletakkan Azmin dan pasukannya di Kabinet.

“Azmin dilantik menjadi menteri walaupun tidak dicalonkan oleh parti, kerana ketika itu dia telah pun menjadi menteri besar.

“Azmin dan pasukannya diberi jawatan penting dengan tujuan menjadikan PKR lebih porak-poranda.


“Padahal, Azmin, Zuraida dan sekutu mereka merupakan di antara individu yang paling tak bersetuju untuk menamakan Mahathir sebagai calon Perdana Menteri Pakatan Harapan dengan alasan Malaysia perlukan tokoh lebih muda seperti Azmin,” kata Nik Nazmi.

Beliau mengulas wawancara Dr. Mahathir dalam Asia Times. Dalam wawancara itu Dr. Mahathir mengatakan krisis di antara Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Azmin telah menyebabkan berlakunya Langkah Sheraton sehingga menyebabkan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan.

Nik Nazmi mendakwa, Anwar pernah bertemu dengan Dr. Mahathir untuk memberi nasihat dan amaran tentang risiko menghadiahkan Azmin dan pasukannya jawatan-jawatan penting. Ini kerana Ahli Parlimen Gombak itu didakwa mempunyai cita-cita politik yang besar.

“Tindakan Mahathir memberikan jawatan-jawatan penting kepada pasukan Azmin seolah-olah ingin mengganggu PKR di atas sebab itu Anwar cuba berunding dengan Dr. Mahathir.

“Dr. Mahathir adalah orang yang bertanggungjawab untuk mengukuhkan kedudukan Azmin sehingga dia menjadi watak penting dalam Langkah Sheraton.

“Ia tidak adil untuk Mahathir menyalahkan Anwar atau PKR semata-mata, hanya untuk melepaskan diri dari mengakui dirinya menjadi penyumbang terbesar kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan,” kata Ahli Parlimen Setiawangsa itu dalam Facebooknya hari ini.-SM

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button