Nasional

Sindiket edar biskut perisa ganja tumpas

EDAR dadah dalam bentuk biskut yang mengandungi kandungan cecair ganja.

Itu taktik yang berjaya dikesan polis selepas membuat operasi khas pada 21 dan 23 Jun lalu di beberapa lokasi di ibu negara.

Operasi pertama difahamkan dilakukan pada 21 Jun kira-kira pukul 11.45 malam melibatkan sepasukan polis dari bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi Kuala Lumpur.

Serbuan yang dilakukan di kawasan Kampung Baru itu berjaya menahan seorang lelaki berusia 28 tahun.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, hasil pemeriksaan telah menemukan dadah disyaki jenis ganja seberat 205 gram.

“Ujian saringan air kencing terhadap suspek juga mendapati dia positif dadah. Suspek direman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama tujuh hari bermula 21 Jun lalu.

“Suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Mazlan, rampasan dadah tersebut boleh dibekalkan kepada 280 orang pengguna dan nilai rampasan dadah dianggarkan berjumlah RM800.

Tangkapan suspek pertama jelas Mazlan membawa kepada penahanan dua suspek pada 23 Jun lalu iaitu seorang lelaki dan wanita berusia 40 serta 41 tahun.

Jelasnya, kedua-duanya ditahan di kawasan letak kereta sebuah kondominium di Jalan Pinang, Kuala Lumpur.

“Hasil pemeriksaan di dalam kereta telah menemukan dadah disyaki jenis ganja ( 2.7 kg), 24 botol biskut disyaki mengandungi cecair ganja (2.5 kg). Turut dirampas wang tunai berjumlah rm 1,000.00.

Susulan tangkapan tersebut membawa kepada serbuan di sebuah rumah di Alam Budiman, Shah Alam, Selangor kira-kira pukul 2.30 pagi pada 24 Jun lalu.

Mazlan berkata, hasil pemeriksaan telah menjumpai dadah disyaki jenis ganja (4.1 kg) dan minyak ganja (173 gram).

“Turut dirampas sebuah kereta Perodua Axia, sebuah van, wang tunai berjumlah RM2,000, bar emas (515 keping) dan bar perak (400 keping).

“Keputusan ujian saringan awal air kencing  mendapati suspek lelaki positif dadah manakala wanita melayu pula negatif dadah,” jelasnya.

Jelas Mazlan, kedua-duanya direman selama tujuh dan empat hari bermula 24 Jun lalu dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Tambahnya, nilai keseluruhan rampasan bagi kes kedua berjumlah RM474,754.00. -SM

 

(Visited 180 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button