Politik

Dr Afif dakwa lepas jawatan exco selepas terima tekanan daripada parti

BUKIT MERTAJAM, 4 Mac — Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya Dr Afif Bahardin mendakwa peletakan jawatannya sebagai exco Pulau Pinang, adalah disebabkan beliau menerima tekanan daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), sejak berlaku pergolakan politik dalaman parti itu.

Timbalan Ketua Cabang PKR Permatang Pauh itu mendakwa, beliau bukan sahaja menerima tekanan daripada PKR di peringkat pusat, malah peringkat negeri yang mahu beliau melepaskan jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan Pulau Pinang.

“Saya memerhati sejak beberapa hari lepas, memang ada desakan daripada parti di peringkat negeri dan kepimpinan pusat (PKR) untuk saya dikenakan tindakan, termasuk kedudukan saya sebagai exco kerajaan negeri Pulau Pinang dikosongkan.

“Hari ini dalam pukul 9 pagi saya dipanggil oleh Ketua Menteri (Chow Kon Yeow) untuk berjumpa, dan selepas perbincangan selama 20 minit, saya terima pandangan serta bersedia melepaskan jawatan exco…ini harga yang perlu saya bayar untuk pertahankan apa yang saya perjuangkan,” katanya pada sidang media di rumahnya di Permatang Pauh, di sini hari ini.

Hadir sama pada sidang media itu isteri Dr Afif, Dr Mardhiah Zakaria, serta puluhan penyokongnya.

Terdahulu, Chow dalam sidang media hari ini mengumumkan Dr Afif meletakkan jawatan sebagai exco kerajaan negeri Pulau Pinang, berkuatkuasa hari ini.

Sementara itu, Dr Afif mengesahkan bahawa beliau masih ahli PKR dan akan kekal dalam parti itu, sehingga siasatan ke atasnya dijalankan dan Lembaga Disiplin membuat keputusan berhubung kedudukannya, dalam parti itu.

Pada 21 Feb lepas, Dr Afif menerima surat tunjuk sebab daripada Lembaga Disiplin PKR, yang mendakwa beliau melakukan aktiviti sabotaj dengan mencetus dan/atau bersekutu, untuk menimbulkan rusuhan serta pergolakan pada Kongres Nasional Angkatan Muda Keadilan (AMK) 2019, di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh Melaka, pada 6 Dis 2019, dengan tujuan membatalkan kongres itu.

Ditanya sama ada beliau bercadang untuk mengikut jejak bekas timbalan presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali keluar daripada PKR dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Dr Afif berkata beliau belum memikirkan perkara itu.

“Saya tiada lagi pendirian itu (keluar parti), tapi saya akui menerima banyak tawaran daripada banyak parti politik,” katanya.

Ahad lepas, Dr Afif antara individu yang diserang penyokong PKR di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya, Selangor, susulan pergolakan politik dalaman parti itu yang membawa perubahan tampuk kepimpinan kerajaan persekutuan, selepas kerajaan Pakatan Harapan tumbang.

Sementara itu, Pengerusi PKR Pulau Pinang Muhammad Bakhtiar Wan Chik dalam satu kenyataan hari ini berkata, pihaknya mengambil maklum berhubung peletakan jawatan Dr Afif dan mengucapkan terima kasih atas khidmat beliau, sepanjang memegang portfolio itu selama tujuh tahun sejak 2013.

— BERNAMA

(Visited 142 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.
Back to top button