Politik

Perikatan Nasional akan tubuh sekretariat – Annuar Musa

PERIKATAN Nasional (PN) akan menubuhkan sebuah sekretariat terdiri daripada setiausaha agung parti gabungan bagi menyelaras hala tuju bersama dalam kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa, berkata penubuhan sekretariat berkenaan juga bagi menjalinkan kerjasama sebagai satu pasukan bagi memperkukuhkan pentadbiran kerajaan baharu.

“Pokok pangkalnya kita perlukan parti dan gabungan yang baik dan mantap, barulah kita dapat memudahkan urusan membantu kerajaan menangani isu rakyat,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat bersama MCA di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon dan Ketua Pemuda MCA, Nicole Wong.

PN terdiri daripada Barisan Nasional (BN), PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Annuar berkata PN perlu mengambil iktibar daripada kejatuhan Pakatan Harapan (PH) dengan memperkasakan konsep gabungan supaya dapat melaksanakan tanggungjawab memberi khidmat sebaik mungkin kepada rakyat.

Menyentuh tarikh sidang Dewan Rakyat yang ditetapkan pada 18 Mei ini, Ahli Parlimen Kereteh itu berharap tiada pihak yang cuba menimbulkan isu daripada perkara itu.

Persidangan Dewan Rakyat harus melalui banyak proses dan biarlah ia diuruskan secara teratur dan tertib bagi memberi peluang kepada urusan kerajaan terlebih dahulu selepas pembentukan kerajaan baharu.

“Antaranya pemilihan Speaker (Yang Dipertua Dewan Rakyat), kalau pertukaran kerajaan. Kedua adalah soalan lisan dan bertulis yang mesti dihantar mengikut tempoh notis yang tertentu kepada Parlimen.

“Ketiga, Parlimen perlu menghantar soalan itu untuk dijawab oleh kementerian yang berbangkit. Jadi adalah mustahil apabila kerajaan PN ini diwujudkan, nak terus bersidang pada 9 Mac atau April,” katanya. – BERNAMA

(Visited 100 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button