fbpx
Politik

Dituduh menjijikkan: Hishammuddin biar rakyat nilai tahap pemikiran PH

MENTERI Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien menyerahkan kepada rakyat untuk menilai sendiri tahap pemikiran pemimpin pembangkang.

Ini selepas Senator DAP Liew Chin Tong menuduhnya sebagai menjijikkan dalam isu tuntutan Filipina terhadap Sabah.

Hishammuddin berkata, beliau kecewa apabila tindakannya mempertahankan kedaulatan Sabah dianggap sebagai menjijikkan.

“Sebagai Menteri Luar, tentunya saya perlu respon terhadap cadangan Shafie agar tidak timbul kekeliruan. Media juga minta saya respon. Takkan Liew Chin Tong hendak saya berdiam? Ke masa jadi Timbalan Menteri Pertahanan dahulu, Liew Chin Tong memang suka berdiam?

“Lebih saya kecewa, tindakan saya pertahan kedaulatan Sabah dianggap sebagai jijik. Ini saya tak nak komen. Biarlah rakyat sendiri lihat dan nilai tahap pemikiran pemimpin pembangkang,” kata Hishammuddin.


Hishammuddin berkata, isu mengenai tuntutan Filipina terhadap Sabah dibangkitkan oleh Setiausaha Luar Filipina, Teodoro Locsin Jr bermula 27 Julai.

Jelasnya, Chin Tong tidak pernah membuat kenyataan menyokong tindakannya sepanjang Kementerian Luar menjawab isu tersebut ketika Teodoro mula membangkitkan isu itu sehingga pada 27 Ogos ketika Timbalan Menteri Luar Negara membentangkan isu berkenaan di Parlimen.

Menurut Hishammuddin, pembangkang hanya mula memberi respond terhadap tuntutan itu selepas Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan tarikh Pilihan Raya Negeri Sabah pada 17 Ogos.

“Kalau Liew Chin Tong hendak tuduh saya gunakan isu ini sebagai modal pilihan raya, cuba tanya Shafie dahulu, kenapa hanya pada 28 Ogos iaitu selepas tarikh PRN Sabah ditetapkan SPR, baru Shafie tiba-tiba hendak cadang agar Kerajaan runding dengan Filipina?

“Jadi, sebenarnya siapa cuba jadikan isu ini sebagai modal pilihan raya?” tanya Hishammuddin.

Chin Tong yang merupakan bekas menteri pertahanan sebelum ini mendakwa, Hishammuddin telah mengambil kesempatan terhadap isu tuntutan Filipina ketika Sabah berhadapan dengan pilihanraya.

“Adalah amat menjijikkan bagi Hishammuddin bertindak oportunis untuk cuba menjadikan ini suatu isu demi menunjukkan dirinya tegas, sedangkan Shafie lembut terhadap Filipina.

“Hishammuddin telah membuat tuduhan-tuduhan palsu dan patut meletakkan jawatan kerana menggunakan dasar hal ehwal antarabangsa sebagai bahan kempen pilihan raya. Kita memerlukan pemimpin yang jujur serta matang,tidak bohong dan memutarbelit kata-kata,” kata Chin Tong.

Menurut Chin Tong pada 7 September, Senator Adrian Lasimbang dari DAP telah membangkitkan usul di Dewan Negara berkenaan tuntutan Filipina ke atas Negeri Sabah.

Katanya, senator-senator daripada Warisan dan Pakatan Harapan mengambil giliran membahaskan usul itu untuk menolak sebarang tuntutan ke atas Sabah.

“Kita memerlukan pemimpin yang jujur serta matang,tidak bohong dan memutarbelit kata-kata. Dan adalah lebih bagi Malaysia untuk tidak mempunyai Menteri Luar yang mempergunaka isu antarabangsa, yang sepatutnya menjadi hal ehwal bipartisan, demi faedah politik segera.

“Tindakan Hishammuddin adalah sangat tidak bertanggungjawab,” kata Chin Tong yang merupakan Pengarah Pendidikan Politik DAP.

Sebelum itu Hishammuddin meluahkan rasa kecewa dengan cadangan Shafie yang mahu kerajaan Persekutuan berunding secara dengan Filipina mengenai tuntutan negara itu terhadap Sabah.

Hishammuddin berkata, beliau telah banyak kali menengaskan Kerajaan tidak akan melayan tuntutan Filipina ke atas Sabah kerana negeri itu milik Malaysia selama-lamanya.

“Atau sebenarnya memang Shafie anggap tuntutan Filipina berasas? Sebagai pemimpin Sabah, Shafie sepatutnya lebih tegas, bukannya cuba beri muka kepada pihak luar yang cuba mempersoalkan kedaulatan Sabah,” kata Hishamuddin.

Pada 28 Ogos lalu media melaporkan, Shafie yang merupakan Ketua Menteri Sabah ketika itu mahu kerajaan Persekutuan berunding secara ‘goverment to government’ terhadap tuntutan ke atas Sabah.

Shafie berkata, Filipina perlu diberi penjelasan mengenai referendum Suruhanjaya Cobbold pada 1963 yang menunjukkan rakyat Sabah memilih Malaysia.-SM

 

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button