
Digelar “palatao” Jalil dedah hantaran asal Nushi
PETIKAN HANTARAN AB JALIL BACKER
Saya palatao
Isu Adun Semenyih, YB Nushi Mahfodz ke sebuah kuil tidaklah menjadi besar asalnya kerana saya hanya komen di dalam ‘posting’ beliau sahaja. Saya kemudian menulis secara umum kepada semua pemimpin Islam agar tidak meraikan upacara keagamaan agama lain walaupun tidak melakukan ibadah ritual.
Kemudian saya dapati MalaysiaGazzete telah menerbitkan jawapan YB kepada saya yang memberi gambaran seolah-olah saya pula anti agama lain sehingga menentang lawatan wakil rakyat Islam ke rumah ibadat bukan Islam.
Bagi saya biarlah asalkan teguran saya sudah sampai. Saya kena tegur beliau, kerana semasa YAB Perdana Menteri meraikan perayaan Thaipusam juga saya kritik lebih keras.
Saya ingat sudah selesai, tapi hari ini muncul lagi isu ini. Kali ini Pengarah Jabatan Kajian dan Polisi Lajnah Penerangan PAS Pusat, Nurul Islam Mohamed Yusoff pula menyifatkan mereka yang mengkritik Nushi sebagai “… cetek ilmu. Tapi nak buat palatao (serba tahu).” (boleh baca portal Suara Merdeka melalui pautan di bahagian komen).
Walaupun tidak menyebut nama saya, saya beranggapan beliau antara lain turut merujuk kepada saya kritikan saya yang menjadi berita semalam.
Kritikan saya kepada YB Nushi bermula kerana beliau sendiri menulis ke kuil tersebut sempena upacara penting tradisi Hindu – Maha Candi Homan.
Dalam teguran dalam komen posting FB beliau saya tulis (lebih kurang) adalah tidak wajar pemimpin Islam pergi ke rumah ibadat bukan Islam ketika acara keagamaan mereka.
Sungguhpun tidak melakukan ritual agama tetapi ia menunjukkan pemimpin Islam meraikan upacara keagamaan tersebut. Ini sesuatu yang dilarang dalam Islam.
Saya juga berpendapat beliau boleh sahaja pergi ke kuil tersebut pada waktu lain.
Apabila ditegur tiba-tiba kandungan posting beliau telah berubah kepada kunjungan muhibbah ke kuil sahaja. Jadi saya pula yang salah menambah cerita. Akhirnya apabila saya dedahkan tulisan awal beliau berdasarkan catatan sejarah suntingan, ke semua posting tersebut hilang.
Pandangan saya bukan bukan jalur keras. Jika jalur lebih keras kena ikut Kata Saidina Umar r.a. yang menyatakan, “Kami tidak masuk ke gereja kamu disebabkan patung-patung yang terdapat di dalamnya.” (Musannaf Abdul Razzaq, No. 1609).
Sebenarnya ini dilema kebanyakan pemimpin politik Islam lain kerana keperluan politik masyarakat majmuk.
Jadi saya fikir Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) perlu memainkan peranan mereka melarang semua orang Islam menghadiri sebarang perayaan kegamaan orang bukan Islam di rumah-rumah ibadat mereka.
Selama ini ada pemimpin Islam memberi gambaran yang salah seolah-olah Islam tidak melarang perbuatan tersebut. Ia telah mewujudkan kepercayaan pemimpin Islam yang tidak meraikan upacara keagamaan agama lain dianggap ekstrem.
MKI dari sibuk membincangkan isu asyariah, maturidiah, wahabi elok memainkan peranan lebih besar meluruskan para pemimpin Islam.
Saya khuatir jika tidak ditegur, lama ke lamaan ia akan menjadi satu Islam menjadi satu budaya crossbreed seterusnya menghakis ajaran tauhid yang suci.
