fbpx
BeritaSukan

Dengarlah rintihan persatuan sukan – Zolkples

KEGAGALAN menepati ramalan pingat dimenangi, malah kedudukannya juga jauh tersasar pada temasya Sukan SEA di Filipina baru-baru ini dilihat sebagai petanda buruk kepada nasib negara terutama dalam menghadapi Sukan Olimpik yang diadakan di Tokyo tahun depan.

Kebimbangan itu disuarakan oleh bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong yang berharap tindakan drastik dapat dilakukan bagi menangani isu dan memastikan misi penting negara direalisasikan.

Justeru katanya, Kementerian Belia dan Sukan perlu melakukan satu bedah siasat bagi mengenal pasti punca kepada pencapaian terburuk negara dalam Sukan SEA Ke-30 itu.

“YB (Syed Saddiq Syed Abdul Rahman) patut lebih mendengar rintihan dan keluhan persatuan-persatuan sukan kebangsaan daripada lebih mendengar dan percaya kepada satu pihak.

“Seperti mana dilakukan Timbalan Menteri (Steven Sim) yang lebih kerap turun padang. Tapi sebagai timbalan, apa yang boleh beliau lakukan? 

“Persatuan sukan ini sentiasa merintih kerana tidak mendapat peruntukan dan perhatian sewajarnya daripada MSN,” katanya dalam surat terbuka kepada Menteri Belia dan Sukan.

Menurut Zolkples, beliau masih ingat apabila negara gagal mencapai sasaran di Sukan Asia Incheon dan Sukan Komanwel Glasgow 2014, bekas Ketua Pengarah MSN pada masa itu, dengan lantang mencadangkan kepada menteri supaya dilakukan satu audit pengurusan untuk mencari punca kegagalan.

“Ketua Pengarah MSN perlu bertanggungjawab sepenuhnya di atas kegagalan ini sebagaimana saya bertanggungjawab di atas kegagalan pada 2014 dulu yang menyebabkan saya terpaksa melepaskan jawatan,” katanya.

Beliau juga katanya, masih ingat Pengarah Program Podium Institut Sukan Negara, Tim Newenham turut terpaksa meletakkan jawatan disandang apabila kontinjen negara gagal menyerlah pada Sukan Asia dan Komanwel 2018.

“Ia dilakukan atas rasa tanggungjawab di atas kegagalan,” jelas beliau.

Zolkples menjelaskan beliau kecewa dengan prestasi kontinjen negara apabila  sekadar menamatkan kempen Sukan SEA 2019 dengan kutipan 56 emas, 58 perak dan 72 gangsa.

Beliau yakin kekecewaan itu turut dikongsi oleh rakyat keseluruhannya.

“Baru-baru ini apabila YB umumkan sasaran kontinjen untuk capai 70 pingat emas, 56 perak dan 121 gangsa yang kononnya untuk mencatat kejayaan terbaik di luar KL, saya pertikaikan sasaran itu yang saya anggap terlalu rendah. 

“Saya menjangkakan kontinjen boleh mencapai lebih daripada 80 emas berbanding dengan Korat 2007 (pencapaian 68 emas) kerana acara pada temasya kali ini lebih banyak di samping bilangan atlet juga lebih ramai.

“Pada masa itu, tidak terfikir oleh saya yang kontinjen tidak mampu mencapai sasaran apatah lagi tidak boleh mencapai angka 60 sekali pun. 

“Jumlah sasaran keseluruhan pingat juga jauh tersasar. Pada saya, daripada mencatatkan kejayaan terbaik di luar KL, bertukar kepada igauan negeri menjadi pencapaian paling buruk dalam sejarah,” katanya.

Dalam pada itu, kontinjen negara gagal mencapai sasaran kedudukan keempat terbaik apabila hanya berjaya menduduki tempat kelima.

“Beberapa atlet yang melayakkan diri ke Sukan Olimpik Tokyo juga gagal menyerlah dan gagal memenangi pingat emas. 

“Kita sudah menetapkan untuk memenangi pingat emas pertama negara di temasya berkenaan atau sekurang-kurang memperbaiki pencapaian empat perak di Rio 2016.

“Tak pernah terfikir juga saya kali ini kita gagal memenangi sebarang pingat emas  dalam acara pelayaran, memanah recurve, ski air, menembak, sepak takraw, ragbi dan berbasikal,” katanya.

Kata beliau, beberapa sukan yang sentiasa menjadi lubuk emas seperti silat, tenpin boling, memanah compound dan renang juga kurang menyerlah. 

“Tambah menyedihkan apabila kita gagal melayakkan diri ke separuh akhir ibu segala pingat iaitu bola sepak,” kata Zolkples lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button