fbpx
BeritaPolitik

Haniff enggan layan desakan letak jawatan pengerusi Perda

Peguam yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda), Haniff Khatri Abdulla enggan melayani desakan meletakkan jawatan berikutan pembabitannya sebagai peguam Muhammed Yusoff Rawther.

Mengulangi kenyataannya yang awal, Haniff berkata beliau tidak boleh menolak mana-mana pelanggan kecuali dalam keadaan luar biasa.

“Sebagai pengerusi Perda yang bertanggungjawab dan sebagai seorang peguambela dan peguamcara yang profesional, dan dalam mematuhi prinsip kedaulatan undang-undang (rule of law) yang dihormati juga oleh kerajaan Pakatan Harapan, saya tidak akan tunduk kepada intimidasi dan ugutan itu.

“Sebagai nasihat percuma kepada mereka yang tidak puas hati dengan Kenyataan Media Rasmi saya ini, anda disarankan untuk menulis terus secara rasmi kepada YB Menteri Pembangunan dan Luar Bandar untuk memajukan aduan anda untuk beliau membuat keputusan lanjut.

“Sehingga itu, saya akan tetap melaksanakan tanggungjawab saya sebagai Pengerusi Perda sama ada sehingga lantikan saya ditamatkan oleh pihak YB Menteri Pembangunan dan Luar Bandar ataupun sehingga saya sendiri membuat keputusan untuk berhenti dari memegang jawatan ini sekiranya saya percaya bahawa saya telah pun selesai melaksanakan amanah dan tanggungjawab lantikan saya sebagai Pengerusi Perda, ataupun sehingga kedatangan ajal saya, tertakluk kepada yang mana terdahulu,” kata Haniff.


Haniff mengulas gesaan kumpulan yang dikenali sebagai Pro 98 Reformis Pulau Pinang yang menuntut agar beliau meletakkan jawatan pengerusi Perda.

Kumpulan itu menggelarkan beliau mempunyai “cita-cita yang tinggi” apabila mewakili Yusoff – individu yang didakwa menjadi mangsa salah laku seks Presiden PKR, Anwar Ibrahim.

Mereka juga memberitahu Haniff agar memberi perhatian kepada agensi kerajaan persekutuan dan bukannya terlibat dalam permainan “politik kotor” bersama Yusoff.

Sementara itu Haniff menegaskan pelantikan beliau sebagai Pengerusi Perda bukan lantikan jawatan bergaji eksekutif sepenuh masa dan tidak menghalang tugasnya menjadi peguam.

Sebalikknya, sejak dilantik 4 Jan lalu, beliau berulang ke pejabat Perda setiap dua hari seminggu sehingga Mei. Sejak Jun beliau ke pejabat Perda selama dua hari setiap dua minggu bagi menyelia dan mengawasi perjalanan program.

“Butiran lengkap kesemua tugasan, kerja dan program Perda yang dilaksanakan oleh Perda di bawah teraju saya sebagai pengerusi boleh disemak dan dikaji di Pejabat Perda mahupun Pejabat YB Menteri Pembangunan Luar Bandar untuk mereka yang berminat,” katanya.

Sebelum mengambil kes Yusoff, Haniff berkata beliau telah wakili pihak lain dalam kes guaman terhadap pelbagai pihak dalam kerajaan persekutuan mahupun negeri dan agensi awam.

Namun, katanya tidak ada mana-mana pihak mempersoalkan profesionalisme beliau.

“Semata-mata kerana aduan “Yusoff Rawther” adalah berunsur aduan kesalahan seksual terhadap seorang pemimpin dalam Pakatan Harapan, ia adalah salah dan khilaf untuk dilabelkan sebagai “politik longkang / gutter politics” tanpa keputusan siasatan.

“Satu siasatan menyeluruh oleh pihak berkuasa wajib dibenarkan untuk dijalankan, tanpa gangguan atau intimidasi mana-mana pihak sama sekali supaya satu keputusan adil dapat diperolehi terhadap aduan itu.

“Prinsip kedaulatan undang-undang (rule of law) tidak benarkan sesiapa pun diletakkan mengatasi undang-undang (nobody is above the law), tidak kira apa sekalipun kedudukan individu terbabit,” katanya menambah tuntutan Pro-98 Reformasi Pulau Pinang merupakan intimidasi dan ugutan.

Show More

Related Articles

Back to top button