Ekonomi

Juara Agarwood perintis projek dapur gaharu moden

CYBERJAYA – Juara Agarwood Resources Sdn. Bhd. (Juara Agarwood) menjadi syarikat bumiputera pertama seumpamanya di Malaysia malah di rantau Asia Tenggara memperkenalkan dapur gaharu moden dibangunkan melalui inovasi daripada kepakaran serta kemahiran anak-anak tempatan.

Dapur moden yang menggunakan Smart Automatic Distillation System itu telah dibangunkan bersandarkan kepada masalah yang dihadapi oleh pemain industri gaharu yang terlibat dalam pemprosesan minyak gaharu secara tradisional.

Menurut Pengarah Urusannya, Muhammad Hafiz Talib, proses memasak minyak gaharu secara tradisional melibatkan satu proses yang sukar dalam tempoh masa yang lama, penggunaan gas memasak yang banyak dengan kos yang tinggi selain pemantauan tanpa henti selama 24 jam untuk empat hari oleh tenaga kerja.

“Pastinya proses memasak di kawasan dapur yang panas itu akan memiliki kekurangannya iaitu daripada aspek suhu yang tidak terkawal, kotor dan juga bakal berlaku pencemaran karbon,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar mengumumkan inovasi baharu dapur moden gaharu yang dicetuskan oleh syarikat tersebut baru-baru ini.

Turut hadir, Pengurus Pembangunan Projek One Diversity Sdn. Bhd., Jamaluddin Sabran dan Marwan Shahabuddin dan Pengarah Penasihat Lembaga, Juara Agarwood, Noor Baini Masri.

Mengulas lanjut, Muhammad Hafiz berkata, dapur gaharu moden yang dibangunkan dalam masa setahun melalui kajian dan pembangunan yang teliti itu kini bersedia ditawarkan di pasaran terbuka mengikut tempahan pelanggan.

Jelasnya, ia terdiri daripada tiga jenis model iaitu dapur yang memasak 2.5 kilogram (kg) hingga 25 kg kayu gaharu dengan harga serendah RM5,000 hingga RM50,000.

Dapur gaharu moden

“Dapur moden digital ini mampu menghasilkan pati minyak gaharu yang berkualiti tinggi hanya dengan menggunakan sumber elektrik dan sistemnya boleh dikawal menggunakan telefon pintar.

“Jika dapur tradisonal terpaksa menggunakan sehingga empat tong gas untuk memasak kayu gaharu selama empat hari tetapi dapur moden digital ini hanya melibatkan kos penggunaan elektrik antara RM30 hingga RM60,” ujarnya.

Tambah beliau, sehingga kini, syarikat telah memasarkan lebih daripada 20 unit dapur moden kepada pelanggan termasuk menerima tempahan dari Vietnam dan Indonesia .

Syarikat mengunjurkan jualan sehingga RM50 juta pada tahun depan melalui sumbangan tempahan daripada pelanggan domestik dan juga luar negara. – SM

(Visited 541 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.
Back to top button