Kebanyakan warga kota yang mencari rezeki di Lembah Klang tidak kisah untuk meredah kesesakan menuju ke pantai timur demi memilih ‘Bulan Putih’ dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Seorang pekerja swasta, Nuraini Badrulizam, 47, berkata, peluang cuti awal yang diberikan Kerajaan perlu dinikmati dan pulang untuk PRU15 sama sahaja seperti pulang untuk beraya.
“Bagi akak.. bagi kampung untuk mengundi ni pengalaman dia sama macam balik kampung untuk beraya. Tak kisahlah sambut Aidilfitri ke.. atau Aidiladha.
“Yang penting, suasana macam ni rasa tersangatlah meriah dan untuk PRU pun, ia cuma lima tahun sekali. Untuk kali ni akak harap, negara dapat sebuah Kerajaan yang stabil,” katanya.
Nuraini berkata demikian ketika ditemui Suara Merdeka dalam perjalanan ke Besut, Terengganu bersama tiga orang anaknya serta suami.
Bagi Azman Arash, 35, yang bekerja sebagai penghantar makanan, dia memilih untuk pulang ke Pasir Puteh, Kelantan bagi memastikan pergaduhan antara politik terhenti.
“Kita sebagai rakyat bosan dan muak dengan pergaduhan ahli politik yang tak pernah berkesudahan sejak 2018. Lebih-lebih selepas Covid-19, Kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang dan masing-masing melepaskan diri.
“Mujur Tan Sri Muhyiddin Yassin diberi amanah untuk menjaga negara diikuti Datuk Seri Ismail Sabri sehingga kini dan kita sebagai rakyat cuma berharap semuanya kembali normal,” katanya.