SEMUANYA bermula dengan khabar yang mengatakan seorang lelaki berpangkat Datuk Seri yang terlibat dengan aktiviti ‘cuci duit haram’ berjaya meloloskan diri dari Ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya.
Menurut laporan beberapa media tempatan yang memetik sumber, Datuk Seri itu dilaporkan sudah tamat tempoh reman dan sedang menanti proses dokumentasi.
Selepas itu, difahamkan berlaku beberapa isu membabitkan orang kena tahan (OKT) yang akhirnya membawa kepada terlepasnya Datuk Seri tersebut.
Kebanyakan media melaporkan yang Datuk Seri itu berjaya melepaskan diri dengan memanjat pintu pagar belakang SPRM.
Sehingga kini juga, belum ada sebarang kenyataan rasmi daripada pimpinan SPRM berkenaan bagaimana seorang OKT boleh terlepas dari bangunan yang gah di Putrajaya itu.
Maklumat yang diterima pun hanyalah daripada sumber yang sudah pastinya tidak boleh didedahkan oleh pihak media.
Malah, disebabkan kes itu juga, soal integriti SPRM bagai dipersenda oleh beberapa laman sosial dan netizen.
Ada yang mengubah gambar didakwa Datuk Seri itu meloncat pagar, ada yang siap membuat pelan lukisan bagaimana lelaki itu boleh lari dan ada yang membuat video simulasi dalam bentuk animasi.
SPRM mula menjadi bahan jadi bahan jenaka. Ada baiknya SPRM mengeluarkan kenyataan rasmi berkenaan apa yang terjadi.
Sekurang-kurangnya tidaklah apa yang terjadi ini terus menjadi bahan gurauan dan mencetuskan lebih banyak spekulasi yang tidak masuk akal.
Teringat pula satu ketika dahulu SPRM pernah memuat naik rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berkaitan aktiviti penyeludupan di sempadan negara.
Mungkin kali ini SPRM juga boleh mengeluarkan rakaman CCTV untuk menjelaskan situasi sebenar. Sekurang-kurangnya juga dapatlah menutup integriti SPRM yang tercalar dek kecaman netizen.
Bagaimanapun, apa yang pasti, Datuk Seri berkenaan dibebaskan SPRM dengan jaminan sebelum dia dikatakan ‘panjat pagar’ untuk melarikan diri.
Dia dipercayai melarikan diri kerana didakwa takut ditangkap polis yang dikatakan sedang menunggunya di luar pintu masuk ibu pejabat SPRM. – SM