Nasionalpilihan

Macau Scam: Pesara kerajaan rugi hampir RM200,000

SEORANG pesara kerajaan mengalami kerugian hampir RM200,000 selepas diperdaya sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai peguam dan polis, awal Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, wanita berusia 50-an itu menerima panggilan daripada seorang wanita yang dikenali sebagai Faridah yang mendakwa dirinya seorang peguam pada jam 8.30 malam 21 Disember tahun lalu.

Menurutnya, suspek mengatakan pengadu disyaki terlibat dalam kes penggubahan wang haram sebelum panggilan itu disambungkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya bagi membuat aduan.

“Pengadu kemudian diberitahu dia terlibat dalam kes penggubahan wang haram serta mendapat waran tangkap atas nama mangsa.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu

“Bagaimanapun, pengadu menafikan terlibat dalam kes tersebut. Sewaktu soal siasat, mangsa diminta memberikan segala butiran akaun bank bersama baki wang.

“Mangsa kemudiannya diarahkan untuk membuat akaun bank baharu dan memindahkan semua wang miliknya ke dalam akaun bank baru tersebut dengan memberi tempoh dari 28 Disember tahun lalu hingga 2 Januari tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Arshad berkata, selepas memindahkan semua wang ke dalam akaun baharu tersebut, pengadu mula menyedari wang dalam akaun baharu miliknya dipindahkan ke akaun pihak ketiga tanpa pengetahuannya yang keseluruhannya berjumlah RM194,219 pada 6 Januari lalu.

Katanya, pengadu mula menyedari dirinya ditipu dan membuat laporan di Balai Polis Masjid Tanah pada Jumaat lalu untuk tindakan lanjut.

Ujarnya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Katanya, sekiranya orang ramai berdepan dengan masalah itu diminta untuk menghubungi panggilan Pusat Respon Scam Kebangsaan di talian 997 bagi membuat tindakan pantas bagi menyekat wang yang dipindahkan kepada sindiket penipuan. – SM

Artikel berkaitan > Dua hotel di Melaka diarah tutup sementara

(Visited 205 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button