Politik

DAP terkilan, Amanah kecewa dengan pembahagian kerusi untuk UMNO

SELEPAS pengumuman senarai calon oleh UMNO yang merupakan satu-satu parti dari Barisan Nasional (BN) bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) selepas MCA dan MIC menarik diri, pelbagai reaksi pemimpin parti komponen dalam Pakatan Harapan.

DAP mengakui sedikit terkilan keputusan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila menyerahkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Dusun Tua yang disandang parti itu kepada calon Barisan Nasional (BN) untuk pilihan raya negeri (PRN) pada Ogos depan.

Memetik laporan sebuah portal, Setiausaha Agung parti DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, bagaimanapun pihaknya perlu akur dengan keputusan tersebut kerana telah dimuktamadkan.

Tambah Menteri Pengangkutan itu, beliau akan bincangkan perkara tersebut dalam Majlis Presiden PH pada Isnin ini.

“Mungkin ada syarat pertukaran yang akan diletakkan dan sebagainya.

“Tapi kita tidak puas hati, pimpinan parti dan akar umbi rasa terkilan dengan keputusan tersebut,” jelasnya.

Pada Jumaat, Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan parti itu hanya bertanding di 12 kerusi DUN Selangor bagi menghadapi PRN pada 12 Ogos depan.

Untuk calon DUN Dusun Tua, BN mempertaruhkan Datuk Johan Abd Aziz manakala DUN Gombak Setia pula, Datuk Megat Zulkarnain Omardin.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), kerusi DUN Dusun Tua dimenangi oleh Edry Faizal Eddy Yusof dari DAP memperoleh majoriti undi sebanyak 10,422 ketika menentang Mohd Zin (BN) dan Razaly Hassan (Pas).

DUN Selangor mempunyai 56 kerusi dengan kedudukan terkini kerusi sebelum pembubaran ialah PH memiliki 40 kerusi (PKR-19, DAP-15, Parti Amanah Negara – enam), BN (lima), Bersatu (empat), Parti Bangsa Malaysia (dua), manakala Pas, Pejuang dan Warisan masing-masing satu kerusi serta seorang wakil rakyat Bebas.

Menurut Anthony Loke, DUN Dusun Tua adalah antara kerusi dalam rundingan PH dan BN untuk PRN di Selangor namun pihaknya tidak memberi sebarang keputusan bagi menyerahkan kerusi tersebut.

“Itu antara kerusi yang deadlocked maksudnya kita tiada keputusan tapi memang kita tidak berikan tapi akhirnya keputusan muktamad diserahkan oleh kepada Pengerusi PH dan Pengerusi BN untuk diputuskan.

“Datuk Seri Anwar telahpun menyerahkan dua kerusi di Selangor kepada pihak BN menjadikan jumlah kerusi BN bertanding di negeri itu adalah 12 kerusi iaitu DUN Dusun Tua yang disandang DAP dan Gombak Setia, disandang PKR,” ujarnya.

Dalam pada itu selepas gagal mendapat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lenggeng, Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) Negeri Sembilan mahu meletakkan calon bagi bertanding di kerusi DUN Kota, pada Pilihan Raya Negeri (PRN), bulan depan. Ini bagi memastikan parti itu kekal bertanding di tiga kerusi DUN di Negeri Sembilan.

Naib Ketua Pemuda Amanah Negeri Sembilan, Ahmad Shukri Kamaruddin, berkata pihaknya mengambil maklum mengenai pengumuman calon kerusi DUN Lenggeng oleh Barisan Nasional (BN) dalam PRN kali ini.

Katanya, itu suatu perkara sukar untuk diterima oleh ahli parti dan atas desakan ahli, Pemuda AMANAH Negeri Sembilan akan menghantar calon bagi bertanding di kerusi DUN Kota dalam Parlimen Rembau.

“Ia bagi menggantikan kerusi DUN Lenggeng yang ingin ditandingi oleh UMNO dan BN, bagi memastikan AMANAH ini terus kekal relevan khususnya di Negeri Sembilan.

“Pemuda AMANAH Negeri Sembilan menegaskan bahawa parti ini bukanlah sebuah parti yang mudah diperkotak-katikkan oleh lawan mahupun kawan. Perbincangan akhir bersama pimpinan di peringkat nasional bakal dimuktamadkan berkait hasrat Pemuda Amanah Negeri Sembilan ini,” katanya hari ini.

BN semalam mengumumkan senarai 108 calon parti itu untuk bertanding di kerusi-kerusi DUN di enam buah negeri yang akan melaksanakan PRN pada bulan hadapan.

Ia termasuk 17 orang calon yang akan bertanding mewakili parti itu di Negeri Sembilan melibatkan DUN Kota dan juga DUN Lenggeng yang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 dimenangi calon dari AMANAH yang bertanding atas tiket Pakatan Harapan (PH).

Dua lagi kerusi dimenangi parti itu DUN Paroi dan juga Klawang.

Sementara itu, Ahmad Shukri berkata, rekod baik Pemuda AMANAH Negeri Sembilan ketika menggalas tanggungjawab sebagai Penyelaras DUN Kota menjadi taruhan terbaik dalam misi merebut kawasan DUN berkenaan.

“Persetujuan awal di peringkat PH bagi memastikan AMANAH bertanding untuk tiga kerusi DUN dalam PRN Negeri Sembilan.

“Sama ada UMNO/BN mahu menarik diri di DUN Lenggeng bagi memberi laluan kepada AMANAH ataupun di kerusi DUN Kota, itu terpulang kepada mereka.

“Kami akan tetap dengan pendirian ini untuk mempertahan sekurang-kurangnya tiga kerusi AMANAH perlu bertanding di Negeri Sembilan dalam gabungan Kerajaan Perpaduan kali ini,” katanya.

(Visited 332 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button