Nasional

Vietnam, Malaysia memainkan peranan penting dalam ASEAN – Penganalisis

KUALA LUMPUR: Vietnam dan Malaysia memainkan peranan yang sangat diperlukan dalam ASEAN, termasuk dalam bidang ekonomi, diplomasi dan keselamatan, kata Collins Chong Yew Keat, seorang penganalisis hal ehwal luar negeri dan strategi serta penulis di Universiti Malaya.

Collins, semasa temu bual dengan Vietnam News Agency (VNA) di sini, menekankan momentum yang semakin meningkat dalam hubungan Vietnam-Malaysia membabitkan semua sektor, termasuk diplomasi, ekonomi, pertahanan dan keselamatan nasional sejak penubuhannya sebagai rakan strategik dua hala pada 2015.

Mengambil kira perkembangan semasa di peringkat serantau dan dunia, beliau menekankan kepentingan lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Vietnam pada 20 hingga 21 Julai.

“Lawatan ini bertujuan untuk memperkukuh lagi persahabatan dan kerjasama yang berpanjangan antara kedua negara,” katanya.

Collins mencadangkan agar Vietnam dan Malaysia bekerjasama lebih erat pada masa depan untuk memastikan rantaian bekalan yang stabil, keselamatan makanan, dan pembangunan ekonomi hijau dan digital, serta industri-industri lain.

Beliau menekankan kerjasama ekonomi sebagai antara bidang utama untuk kedua-dua negara, terutamanya dalam tempoh pasca pandemik di tengah-tengah perkembangan kompleks serantau dan dunia.

Collins menyentuh mengenai kekuatan semasa Malaysia dalam bidang elektronik, produk halal, minyak kelapa sawit, dan terutamanya tenaga – yang semuanya penting untuk pembangunan ekonomi Vietnam.

Mengenai pertahanan dan keselamatan nasional, beliau menekankan keperluan kedua-dua negara untuk menguatkuasakan kerjasama dalam menangani cabaran bersama dalam hal ehwal maritim, terutamanya melalui usaha bersama untuk mempromosikan ‘Code of Conduct in the East Sea’ (COC), dan menambah bahawa ini akan menjadi antara keutamaan utama dalam kerjasama dua hala pada masa akan datang.

— BERNAMA

(Visited 34 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button