fbpx
Politik

DAP memerintah semula jika Bersatu, Pas, UMNO berpecah

SETIAUSAHA Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan memberi amaran parti DAP akan kembali memerintah sekiranya UMNO, Bersatu dan Pas berpecah.

Justeru beliau mengingatkan ahli-ahli UMNO untuk meredakan apa-apa perbalahan melibatkan Pas dan Bersatu kerana ia boleh mendatangkan satu kerugian.

“Saya faham bahawa begitu begini dinyatakan tetapi kalau kita berbalah dan berlaku tiga penjuru dalam PRU-15, DAP akan memerintah semula.

“Kekuatan DAP ini ialah kepada perpecahan Melayu. DAP tidak akan ada sebarang kekuatan jika Melayu berpadu.

“Dan Melayu ingin berpadu dalam Muafakat Nasional. Jadi kita perlu rasional menerima segala ini,” kata Ahmad Maslan dalam video yang dikongsi oleh portal UMNO Online.


Beliau mengulas mengenai sentimen sesetengah ahli UMNO terhadap Parti Pribumi Bersatu Malaysia atau Bersatu yang merupakan parti serpihan UMNO.

Jelas Ahmad Maslan, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah berjiwa besar dengan mengundang Bersatu melalui Presidennya Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin untuk menyertai Muafakat Nasional (MN).

“Saya tahu bahawa kesan luka antara UMNO dan Bersatu itu belum sembuh. Tetapi kita sudah banyak luka dengan Pas sebelum ini dan kita segera sembuh luka-luka itu akhirnya kita menamatkan perbalahan lebih 60 tahun,” kata Ahmad Maslan.

Menurut beliau, ketika ini adalah peluang yang terbaik untuk menyatupadukan parti-parti politik Melayu yang tidak suka kepada DAP.

“Pas tidak suka kepada DAP, Bersatu tidak suka kepada DAP, UMNO memanglah dari dulu tidak suka DAP. Oleh kerana mereka tidak suka kepada DAP kita mempunyai perjuangan yang sama,” tambahnya.

Setiausaha Agung Pas Datuk Takiyuddin Hassan hari ini mengesahkan Muhyiddin sudah bersetuju menyertai Muafakat Nasional melalui satu surat yang dihantar beberapa hari lalu.

Jawapan balas dihantar Muhyiddin susulan surat pelawaan yang diterima beliau, yang ditandatangani Abdul Hadi  dan  Ahmad Zahid.

Bagaimanapun, kata Takiyuddin, perbincangan lanjut, termasuk sama ada untuk mendaftarkan Muafakat Nasional atau Perikatan Nasional sebagai sebuah gabungan, masih belum dimulakan.-SM

(Visited 2 times, 1 visits today)

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button