Politik

Pembangkang sindir Khairuddin hanya didenda RM1,000

PEMIMPIN politik pembangkang melahirkan rasa kecewa selepas Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali hanya dikenakan kompaun RM1,000 selepas gagal mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) kuarantin wajib.

Mereka membandingkan jumlah denda dan hukuman yang dikenakan terhadap berberapa individu termasuk seorang peniaga nasi kandar  atas kesalahan sama sebelum ini.

“Persoalannya ialah kenapakah semua pesalah dihadap ke mahkamah, tetapi menteri kabinet ini diberi layanan istimewa dengan penjelasan kompaun RM1,000 yang balik bertarikh. Sekali lagi, rakyat lihat layanan dua darjat berlaku dalam perlaksanaan perintah kawalan COVID-19,” sindir Ahli Parlimen (DAP) Seputeh Teresa Kok.

“Menteri PN melakukan kesalahan yang sama, ke sana ke sini, keluarkan pelbagai dalil, hanya disiasat selepas rakyat marah, dan hanya dikenakan denda RM 1,000.  Kenapa standard yang berbeza?,” tanya Ahli Parlimen (PKR) Kulim-Bandar Baru, Saifuddin Nasution Ismail.

“Rakyat marhaen bersalah denda RM8,000 dan penjara. Menteri PN / PAS kena RM1,000 (backdated lagi!) dan tak aku salah. Lebai kebal,” luah Ahli Parlimen (DAP) Damansara Tony Pua.

Pada 13 Ogos pemilik kedai Nasi Kandar Salleh di Napoh, Nezar Mohamed Sabur Batcha, 57, dijatuhkan hukuman denda RM12,000 dan penjara lima bulan di Alor Setar selepas didapati bersalah ingkar perintah pengawasan dan pemerhatian pada 14 Julai lalu.

Pada 14 Ogos, ‘Makcik gelang pink’ Nur Emah Mohamad Hashim, 72, dijatuhi hukuman penjara selama satu hari dan denda RM8,000 oleh Mahkamah Majistret Ipoh atas pertuduhan tidak mematuhi Perintah Pengawasan dan Pemerhatian ketika dikenakan perintah kuarantin di rumah.

Kementerian Kesihatan (KKM) dalam kenyataannya hari ini berkata Mohd Khairuddin melakukan kesalahan mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998 [Akta342].

Mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342), semua individu yang baru tiba dari luar negara sama ada warga negara atau warga asing perlu menjalani kuarantin wajib selama 14 hari sebagai langkah mengekang penularan virus COVID-19.

Khairuddin telahpun memohon maaf atas kesilapan yang dilakukan beliau dan dia mengambil keputusan memulangkan gajinya sebagai Menteri, bermula Mei hingga bulan ini, untuk disumbangkan kepada Tabung Bantuan Bencana Negara (Tabung COVID-19).

Sebelum ini, Ahli Parlimen (DAP) Seputeh, Teresa Kok, ketika sesi persidangan Dewan Rakyat mempertikaikan mengenai tidakpatuhan arahan kuarantin wajib oleh Mohd Khairuddin.

Berikutan itu, Mohd Khairuddin yang juga Ahli Jawatankuasa Pusat Pas dikritik banyak pihak kerana mengingkari arahan kuarantin wajib seperti diarahkan pihak berkuasa.-SM

(Visited 83 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button