fbpx
Nasional

Khairuddin mohon maaf, pulangkan gaji menteri

MENTERI Perusahaan, Perladangan dan Komoditi Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia atas kekhilafan tidak menjalani kuarantin sebaik pulang dari luar negara.

Sebagai menzahirkan rasa bertanggungjawab, beliau memulangkan semua gaji sebagai menteri untuk bulan Mei hingga Ogos 2020.

Gaji tersebut disumbangkan kepada Tabung Bantuan Bencana Negara (Tabung COVID-19) di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Merujuk kepada kenyataan media oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dalam isu SOP PKPP hari ini, saya dengan ini memohon jutaan kemaafan kepada seluruh rakyat Malaysia atas kekhilafan yang berlaku.

“Sebagai menteri, saya bertanggungjawab untuk akur kepada peraturan dan SOP sepanjang tempoh PKPP,” kata MOhd. Khairuddin dalam satu kenyataan.


Menurut Mohd. Khairuddin, gaji bulan Mac dan April 2020 juga telah disumbangkan sebelum ini ke Tabung tersebut sebagaimana keputusan Kabinet sebelum ini.

“Saya juga akan terus bekerja keras dan melipat gandakan lagi segala usaha dan tenaga saya untuk melaksanakan tugasan amanah sebagai Menteri bagi memastikan semua rakyat yang terlibat di bidang
perladangan dan komoditi.

“Khususnya lebih sejuta pekebun kecil B40 sentiasa mendapat manfaat dan terbela kebajikan mereka,” kata Mohd. Khairuddin.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini memaklumkan Mohd Khairuddin dikompaun RM1,000 kerana melanggar SOP kuarantin.

Mohd Khairuddin melakukan kesalahan mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No.7) 2020, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998 [Akta342].

Kementerian Kesihatan dalam satu kenyataan berkata, Dr Mohd. Khairudin telah pulang dari Turki pada 7 Julai lalu.
Menurut kenyataan itu, oleh kerana Khairuddin gagal mematuhi peraturan mengikut Akta 342, Pegawai Diberi Kuasa (PDK) telah mengeluarkan kompaun RM1,000 kepada Khairuddin pada 7 Ogos dan beliau sudah membayar kompaun berkenaan.
Pada 18 Ogos lalu, Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok memberitahu Dewan Rakyat bahawa Dr Mohd. Khairuddin baru pulang dari Turki pada 7 Julai lalu selepas berada di sana selama empat hari.

Namun, beliau berada di Parlimen enam hari kemudian pada 13 Julai, sebelum tempoh kuarantin di rumah berakhir.-SM

(Visited 1 times, 1 visits today)

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button