COVID-19: Mufti Perlis dedah jemaah tabligh beri pelbagai alasan
KANGAR, 14 Mac — Mufti Perlis Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin hari ini mendedahkan, ada jemaah tabligh negeri itu memberikan pelbagai alasan apabila diminta membuat pemeriksaan kesihatan berikutan penularan jangkitan COVID-19 ketika ini.
Katanya beliau dimaklumkan, jemaah tabligh di Perlis yang menghadiri perhimpunan di Masjid Sri Petaling, Kuala Lumpur baru-baru ini, masih belum melakukan pemeriksaan dengan alasan penyakit itu daripada Allah SWT dan perlu redha dengan ketentuan.
“Ada pula yang berkata ‘masjid tempat baik, tiada jangkitan akan berlaku’. Ada pula berkata ‘jangan takut virus (COVID-19) tapi takut Allah’. Ada pula berkata ‘kalau mati, syahid’ dan pelbagai lagi falsafah yang disalah guna,” katanya menerusi catatan laman Facebook miliknya.
Justeru, beliau menyeru pihak terbabit agar segera membuat pemeriksaan kesihatan agar penyakit itu tidak berjangkit dan merebak kepada orang lain.
“Tidak wajar bagi kita menambah beban kepada pihak Kementerian Kesihatan (KKM) untuk mencari saudara-saudara (jemaah tabligh) ke serata tempat untuk diperiksa. Saya difahamkan di Perlis, pihak KKM terpaksa membuat operasi mencari saudara-saudara yang terbabit.
“Berikanlah kerjasama dan kasihanilah umat Islam yang lain. Bahkan, yang bukan Muslim sekalipun tidak boleh kita membahayakan mereka. Janganlah saudara-saudara hadir ke masjid atau selainnya melainkan saudara-saudara disahkan selamat,” tambahnya.
— BERNAMA